JOHOR BAHRU – Polis Johor akan membuat siasatan berikutan dakwaan usahawan kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Sajat bahawa dia berada di Danga Bay di sini.
Ini susulan Nur Sajat mendedahkan dirinya berada di daerah ini ketika melakukan penstriman secara langsung di Instagram miliknya malam kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendakwa Nur Sajat dilihat sengaja mengundang kontroversi.
“Saya semak dulu, kadang-kadang dia saja nak jolok (cabar),” katanya ringkas ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Terdahulu, Sajat memberitahu secara terbuka bahawa dirinya berada di Johor selama ini.
Katanya, melalui live di Instagram miliknya malam kelmarin bahawa dia tidak keluar dari negara sebaliknya berada di Danga Bay, Johor sahaja.
“Mana ada saya kat luar negara, saya ada di Johor saja, Danga Bay, saya tidak tahu hendak cakap macam mana lagi, saya ada di Malaysia, tidak ke mana-mana,” jelasnya.
Sajat menjawab pertanyaan pengikutnya yang bertanya lokasi tempatnya bersembunyi selama ini.
Pada 23 Februari lalu, usahawan kosmetik itu dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam kerana tidak hadir sebutan semula kes berhubung menghina Islam.
Kosmo! pada 26 April lalu melaporkan Nur Sajat berkemungkinan berada di luar negara selepas mengetahui Polis Selangor bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Selangor untuk mengesannya. -K! ONLINE