MADRID – Real Madrid dilaporkan terus mendesak Paris Saint-Germain melepaskan Kylian Mbappe dengan menjadikan hari ini sebagai tarikh akhir keputusan atau mereka akan kembali pada Januari nanti untuk mendapatkan pemain itu secara percuma.
PSG menolak tawaran kedua daripada Real dengan nilai sebanyak £154 juta (RM889.26 juta) untuk mendapatkan Mbappe yang hanya berbaki kontrak sehingga hujung musim ini.
Keengganan pemain berusia 22 tahun itu menandatangani kontrak baharu membolehkannya mengadakan perbincangan dengan mana-mana kelab bermula Januari ini dan PSG berdepan risiko kehilangannya secara percuma.
Peluang itu digunakan oleh Real ketika ini apabila mengugut PSG bahawa mereka perlu menerima tawaran berkenaan atau Mbappe bakal menandatangani pra kontrak pada Januari untuk menyertai mereka pada musim panas tahun hadapan.
Mbappe dikaitkan dengan perpindahan ke Real sejak dua musim lalu dan jendela perpindahan kali ini menyaksikan gergasi Sepanyol itu akhirnya mengemukaan bidaan rasmi pertama bernilai £137 juta (RM791.09 juta) tetapi ditolak mentah-mentah PSG.
Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi sebelum ini mengakui bahawa mereka tidak akan melepaskan khidmat Mbappe walaupun menerima tawaran yang lumayan.
PSG mahu terus memujuk pemain itu menandatangani kontrak baharu biarpun sedar mereka bakal kehilangannya secara percuma jika usaha itu gagal. – AGENSI