fbpx

Nur Asyifa miliki empayar jualan alat ganti, kipas baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur ASYIFA menerima tunjuk ajar dan pengalaman berniaga daripada bapanya sejak kecil lagi.

SEBERANG PERAI – Lebih lima tahun, Nur Asyifa Ajis, 30, se­ring mengikuti bapanya membaiki dan menjual kipas terpakai di pasar malam serta pasar pagi di sekitar Kota Kuala Muda, Kedah dan Butterworth, Pulau Pinang.

Pengalaman berharga itu tanpa disedari telah mencambahkan rasa minat anak sulung daripada enam beradik itu untuk mula menceburkan diri dengan lebih serius di dalam perniagaan kipas.

Meskipun telah memiliki segulung ijazah dalam bidang elektrik dan elektronik, Nur Asyifa sebenarnya tidak pernah berasa kekok untuk bermula dari bawah dan menjadikan ba­panya, Ajis Mat, 56, sebagai mentor.

Berkat kesabaran yang tinggi, Nur Asyifa akhirnya berjaya membangunkan sebuah empayar perniagaan sendiri di bawah jenama Dr. Kipas yang mengkhusus kepada perkhidmatan membaiki serta menjual kipas baharu dan terpakai.

Selain kipas dan alat ganti yang lain, beberapa peralatan elektrik dan elektronik seperti lampu, periuk nasi dan radio turut ditawarkan di kedai ber­kenaan pada harga berpatutan.

Pun begitu, ‘langit tidak selalu cerah’ dan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak Mac tahun lepas telah membantutkan perancangan wanita itu untuk terus melebarkan empayar perniagaannya pada ketika ini.

Menurut Nur Asyifa, perniaga­an­nya masih mampu bertahan da­lam keadaan sukar itu berbanding peniaga lain yang mula berundur atau ‘gulung tikar’ satu demi satu dalam tempoh sukar tersebut.

Berbekalkan dengan sema­ngat keluarga, strategi penjimatan kos dan juga menggunakan secara maksimum pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan untuk membantu usahawan, wa­nita ini bangkit dan memulakan langkah kanan bagi meneruskan ke­langsungan perniagaannya.

Tambah Nur Asyifa, pengalaman bernilai sepanjang musim pandemik itu bagaimanapun mengajarnya untuk lebih bersedia dan sentiasa berhati-hati dalam meneruskan langkahnya.

“Kalau hendak diikutkan hati, memang kami berhasrat untuk membuka cawangan kedua di sini, tapi, rakan-rakan bisnes menasihati agar memberi tumpuan kepada cawangan sedia ada terlebih dahulu.

“Mereka juga berpendapat bahawa, adalah lebih baik sekiranya memperkukuhkan kaedah pemasaran secara online dan juga di dalam platform digital,” kata­ beliau kepada Kosmo! ketika ditemui di kedainya di Taman Sena Jaya, Kepala Batas di sini.

Bermula di situ, Dr. Kipas turut memasarkan pelbagai produk alat ganti dan kipas baharu melalui platform digital se­perti Shopee.

Kata Nur Asyifa, walaupun baru dua bulan menggunakan kaedah tersebut, sambutan yang diterima amat menggalakkan, malah katanya, ada tempahan yang diterima daripada pelanggan di Sabah dan Sarawak.

Tambah beliau, meman­dangkan tidak ramai peniaga yang menjual pelbagai alat ganti kipas seperti motor, bilah, tapak dan beberapa aksesori kecil lain, maka ini telah menjadi satu ke­lebihan buat Dr. Kipas untuk me­nguasai segmen berkenaan, sekali gus jenama itu menjadi pilihan pelanggan di platform ber­kenaan.

Mengulas lanjut, Nur Asyifa memberitahu, kipas siling mendapat permintaan yang tinggi khususnya daripada pelanggan di Selangor dan Kuala Lumpur.

“Kami mampu menjual di antara 10 hingga 20 buah kipas pelbagai jenis dalam masa sehari melalui Shopee ketika ini.

“Lebih menarik, pada Kempen Jualan Mega Shopee 8.8 (8 Ogos) lalu, kami telah menerima tempahan yang tinggi iaitu sehingga 60 buah kipas dalam masa satu hari sahaja,” katanya.

Bersandarkan kepada pe­ngalaman tersebut, beliau berharap untuk meneroka beberapa platform digital atau e-dagang lain seperti Lazada dan PG Mall untuk memasarkan produk Dr. Kipas selepas ini.

Jelas Nur Asyifa, kaedah pemasaran secara digital itu dilihat mampu mengimbangi jumlah kerugian yang dialami sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini terutamanya ketika pelaksanaan total lockdown sehingga memaksa premis perniagaannya ditutup.

Lebih memburukkan lagi keadaan, syarikat juga terpaksa menghentikan buat sementara waktu, perkhidmatan membaiki kipas di rumah untuk pelanggan sepanjang tempoh tersebut.

Mereka juga hanya bergantung kepada pe­langgan yang datang ke kedai secara walk-in, selain masih meneruskan perkhidmatan mengambil dan menghantar kipas untuk dibaiki daripada pe­langgan ketika ini.

Dalam pada itu, Nur Asyifa yang turut memiliki kelayakan sebagai seorang kontraktor bumiputera terutamanya dalam kerja-kerja berkaitan penda­waian elek­trik berkata, bagi menjadikan syarikatnya lebih berdaya saing, beliau sentiasa memikirkan alternatif baharu untuk memastikan jenama Dr. Kipas kekal bertahan di sebalik pandemik yang dilihat seakan tidak berkesudahan ini.

Sehubungan itu, beliau sedang membuat kajian dan pembangunan untuk membangunkan satu aplikasi khas bagi memudahkan pelanggan mereka mendapatkan khidmat Dr. Kipas sama ada untuk tujuan membaiki atau membeli kipas serta pelbagai alat gantinya.

Dalam hal ini katanya, ilmu kejuruteraan elektrik dan elektronik yang dipelajarinya semasa menuntut di universiti sebelum ini banyak membantu melancarkan usaha bagi membangunkan aplikasi tersebut.

“Ketika ini, aplikasi tersebut telah 80 peratus siap dan kami menjangkakan ia bakal dilancarkan selewat-lewatnya hujung tahun ini juga,” katanya.

Bagi melancarkan operasi, Nur Asyifa kini dibantu oleh empat pekerja lain dalam melaksanakan pelbagai kerja-kerja pengurusan serta menawarkan per­khidmatan membaiki kipas.

Kipas baharu yang dijual oleh Dr. Kipas ditawarkan pada harga antara RM89 hingga RM249.

Selain itu, syarikat juga menjual kipas terpakai pada harga di bawah RM100 bergantung kepada saiz dan kondisi semasa jentera berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI