fbpx

Mulut lantang, digelar banyak bunyi, Naim cuma luah suara hati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAIM DANIEL

LANTANG dan berani. Demikian dua kata sifat yang tiba-tiba menjadi gelaran netizen buat penyanyi serta komposer berbakat besar, Naim Daniel sejak akhir-akhir ini.

Jolokan tersebut meniti di bibir ramai bukan disebabkan karya muzik atau lakonan, namun tercipta hasil daripada kelantangan sikapnya dalam media sosial, khususnya berkaitan politik dan isu semasa negara.

NAIM yang sudah bertapak dalam industri seni tanah air menegaskan tidak akan melupakan bidang lakonan iaitu kerjaya pertama ketika dia mula bertatih dalam dunia hiburan. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Sedikit keterlaluan, ada juga netizen melabelkan dirinya sebagai artis banyak bunyi, sementelah ada sahaja perkara yang hendak dikritik mahupun diulas si anak muda berusia 24 tahun itu.

Seperti sudah menjangka soalan yang hendak ditanya, Naim ketika berbicara bersama HibGlam memberitahu, pendiriannya tidak akan ‘goyang’ apabila dilemparkan gelaran sedemikian hanya disebabkan kecenderungan meluahkan ‘suara kecil’ dalam media sosial.

Lantang bersebab

“Naim Daniel dalam media sosial hanyalah suara halus yang entah didengari atau tidak, namun semua itu tidak menyekat saya untuk bersuara.

“Bagi saya, pengikut media sosial merupakan tanggungjawab saya. Saya perlu memberi input yang berguna kepada mereka,” katanya tegas.

Selebriti yang terkenal dengan watak Budi menerusi drama Pia itu juga menafikan kelantangannya dalam media sosial bukanlah tiket segera untuk meraih publisiti murahan.

KATA Naim, apa yang sering dibahaskan dalam media sosial adalah caranya meluahkan suara kecilnya sebagai rakyat Malaysia sama seperti orang lain.

“Itu bukan cara saya. Publisiti murahan sebegitu tidak pernah langsung terlintas dalam fikiran.

“Saya hanya fikir, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk menggunakan platform kecil sebagai selebriti yang dimiliki untuk menyebarkan sesuatu informasi,” ujarnya.

Meskipun agak lantang, Naim tetap menitikberatkan elemen empati dan tidak terus menjatuhkan hukum terhadap pengguna media sosial lain setiap kali cuba melontarkan pendapat.

“Bersuara dalam media sosial bukan setakat mengkritik tetapi ambil tahu masalah sekeliling, terutama pada musim pandemik.

“Kelantangan saya tidak sepatutnya menjadi isu bagi orang lain. Saya juga rakyat Malaysia yang punya hak sama seperti orang lain dan tiada niat langsung untuk menjadi hero,” ujar pemilik nama lengkap Muhammad Naim Daniel Baharin itu.

PELANTUN lagu Purnama itu tidak berniat untuk bermusuh dengan mana-mana pihak dalam media sosial.

Jelasnya, antara yang menjadi fokus utamanya ialah isu berkaitan kesedaran pengambilan vaksin dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Saya sedar masih ramai yang berdegil tetapi mereka juga perlu membuka mata bahawa tindakan menolak vaksin akan membahayakan orang lain.

“Jangan disebabkan sikap mementingkan diri, orang lain yang menjadi mangsa. Kita sudah tiada masa untuk bergaduh sesama sendiri tentang hal ini,” katanya lagi.

Evolusi muzik

Tidak hanya duduk goyang kaki di rumah, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu memberitahu, jadualnya agak padat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 1 Jun lalu.

Biarpun hanya duduk di rumah, otaknya ligat berkarya untuk menghasilkan naskhah baharu.

Terbaharu, dia bakal melancarkan single kolaborasi bersama penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow berjudul Habis Sini.

TEMPOH menjalani PKP di rumah tidak membuatkan jadualnya kosong kerana Naim tetap sibuk menggali material baharu.

“Sebenarnya lagu ini sudah siap tetapi perlu ditangguhkan kerana PKP dan muzik video juga tidak dapat dirakam.

“Umum tahu Joe mempunyai satu level yang hebat dalam industri muzik rap di Malaysia, jadi peluang ini sangat bagus untuk saya yang suka mencuba perkara baharu.

“Kolaborasi ini juga juga akan membuktikan bahawa kombinasi penyanyi muda dengan senior mampu menghasilkan sesuatu yang mengagumkan, sekali gus membawa satu norma baharu dalam bidang muzik,” katanya yang pernah bekerjasama dengan gitaris legenda, Man Kidal untuk lagu Sembah.

BAKAL melancarkan single kolaborasi bersama Joe Flizzow, Naim memandang kerjasama tersebut sebagai peluang untuk evolusi dalam bidang muzik.

Tutur Naim, niatnya untuk berkolaborasi dengan penyanyi-penyanyi senior bukan bermaksud ingin menumpang populariti, sebaliknya bagi mewarnakan lagi kreativiti yang dimiliki.

“Saya suka bereksperimen dengan muzik. Jadi apabila saya bergabung dengan artis lain, dua idea akan bertembung dan menghasilkan sebuah magis.

“Itu yang saya inginkan iaitu evolusi dalam muzik. Sebagai penyanyi muda, saya sukakan sesuatu yang segar dan berbeza,” katanya panjang lebar.

Lakonan yang dirindui

Terlihat lebih aktif dalam bidang nyanyian, namun jauh di sudut hatinya, terselit rindu yang membuak-buak terhadap dunia lakonan.

Naim yang mula bertatih dalam industri seni sebagai seorang pelakon sekitar tahun 2008 itu bagaimanapun memberitahu, dia tidak pernah melupakan lakonan yang menjadi sayap pertamanya sebagai artis.

JEJAKA berkulit sawo matang ini enggan mendabik dada meskipun ada yang melabelkan dirinya sebagai bintang Budak Baru Nak Up (BBNU) paling berjaya setakat ini.

“Sebenarnya banyak juga tawaran berlakon sudah diterima.

“Namun, semuanya masih tertangguh gara-gara pandemik Covid-19. Insya-Allah saya akan muncul dalam beberapa buah drama dan telefilem.

“Insya-Allah apabila situasi pandemik sudah reda, penggambaran akan dijalankan semula, wajah saya akan muncul dalam televisyen tidak lama lagi,” jawabnya seraya mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI