PUTRAJAYA – Datuk Seri Mahdzir Khalid menyifatkan pelantikan beliau sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar sebagai satu amanah dan tanggungjawab besar yang perlu dipikul demi memastikan kelancaran pentadbiran negara dan juga kemajuan luar bandar serta masyarakatnya.
Beliau beriltizam untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab itu dengan penuh keikhlasan, jujur dan berintegriti demi memastikan negara terus bergerak maju ke hadapan terutama dalam usaha kita menangani pandemik Covid-19 dan juga Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Insya-Allah dengan pengalaman sepanjang karier politik saya akan dijadikan sebagai bekalan untuk saya memastikan segala agenda pemerkasaan masyarakat luar bandar sebagai salah satu agenda utama yang akan diterapkan di KPLB.
“Saya turut memohon seluruh rakyat Malaysia mendoakan semoga segalanya dipermudahkan dan negara berjaya bangkit dan pulih daripada krisis kesihatan dan ekonomi yang sedang dihadapi sekarang dalam tempoh masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu Mahdzir tiba di bangunan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) pada pukul 5.45 petang tadi untuk merakam penanda waktu bagi memulakan tugas hari pertamanya hari ini.
Ketibaan beliau disambut Timbalan Menteri I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Menteri II, Datuk Hasbi Habibollah serta Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Dr. Ahmad Jailani Mohamed Yunus sebelum dibawa naik ke pejabat masing-masing. – K! ONLINE