fbpx

Lepas tembakan ke arah suspek samun, menyamar polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Suspek yang berusia 43 tahun itu ditahan pasukan D9 di Taman Sentosa, Klang semalam.

KUALA LUMPUR – Polis terpaksa melepaskan empat das tembakan ke arah tayar kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki bagi mengelak daripada dirempuh kenderaan itu, dalam kejadian kelmarin.

Sebelum melarikan diri, suspek yang berusia 43 tahun itu telah menyamar sebagai anggota polis dan melakukan samun terhadap seorang lelaki warga asing yang sedang berjalan kaki di hadapan Apartmen Sri Rakyat, Bukit Jalil dekat sini sekitar pukul 6.30 petang.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kejadian disedari dua anggota Balai Polis Bukit Jalil yang sedang menjalankan tugas rondaan lalu mereka menghampiri suspek, namun suspek memecut laju kenderaan dengan nombor pendaftaran palsu VEF 5376.

“Suspek telah melanggar beberapa buah kenderaan orang awam yang berada di laluannya. Anggota polis yang menaiki motosikal terus mengejar suspek hingga ke Jalil Link, Bukit Jalil di mana keretanya telah terhalang oleh kenderaan yang berhenti di lampu isyarat yang sedang merah.

“Salah seorang anggota polis telah mengarahkan suspek untuk keluar daripada kenderaan dengan memberikan kata-kata amaran, namun suspek bertindak memandu secara meluru ke arah anggota tersebut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bagi mengelak daripada dirempuh, anggota polis bertindak melepaskan empat das tembakan ke arah tayar kereta itu.

“Bagaimanapun suspek dapat melarikan diri dengan menaiki pembahagi jalan dan memandu melawan arus menuju ke arah Lebuhraya Shah Alam (KESAS) menghala ke Shah Alam,” ujarnya.

Jelas beliau, bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah (D9) daerah berjaya memberkas suspek di Taman Sentosa, Klang semalam termasuk merampas kereta (berwarna putih) yang digunakan dalam kejadian itu.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis syabu dan turut memiliki beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Siasatan awal mendapati suspek terlibat dalam kes ini dan disiasat di bawah Seksyen 307/392 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI