PETALING JAYA – Pelakon Fizo Omar kesal apabila seorang lelaki bergelar antivaksin sanggup menggunakan kuasa ‘talak’ ke atas isterinya jika wanita itu mendapatkan suntikan vaksin.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Fizo berkongsi perbualan seorang wanita untuk mendapatkan kepastian daripada pihak yang arif selepas dia dijatuhkan talak kerana mendapatkan suntikan vaksin tanpa pengetahuan suaminya.
“Kalau betul wujud suami seperti ini. Saya tidak boleh sentuh tentang hukum. Tapi sebagai lelaki, awak salah guna kuasa sebagai seorang suami. Kalau betul awak antivaksin sekali pun, bukanlah sampai tahap jatuh talak,” ujar Fizo.
Katanya lagi, dia tidak menolak kenyataan keinginan untuk mendapatkan suntikan vaksin adalah pilihan dan hal individu itu sendiri.
“Tapi saya pernah tanya pada ustaz dan jabatan agama, sekiranya kita tidak ambil (vaksin) dan tindakan itu boleh membahayakan dan memudaratkan orang lain, hukumnya haram di sisi agama. Itu apa yang diberitahulah,” jelasnya.
Fizo atau nama lengkapnya Wan Hafizol Wan Omar itu turut mempersoalkan rasional wujud golongan sebegitu sedangkan pihak jabatan agama dan kesihatan negara di seluruh dunia sudah mengiktiraf dan mengesahkan bahawa vaksin Covid-19 yang diambil halal serta harus disuntik.
“Persoalannya kenapa masih wujud lagi isu antivaksin ini? Kalau masih ingat, sejak kita lahir, beberapa jenis vaksin sudah pun disuntik dalam badan kita. Alhamdulillah sehingga sekarang Allah SWT masih beri nikmat kehidupan yang sihat.
“Allah SWT suka melihat hamba-Nya ikhtiar dan berusaha untuk menempuhi dugaan yang dihantar kepada kita semua. Lakukan apa yang sepatutnya dan Allah SWT adalah sebaik-baik perancang,” kata Fizo.
Terdahulu, tular dalam media sosial perbualan menerusi aplikasi WhatsApp tentang seorang wanita yang memberitahu bahawa dia telah mendapatkan suntikan vaksin secara diam-diam tanpa pengetahuan suaminya beberapa hari lalu.
Bagaimanapun, ketika berbual dengan suaminya, lelaki itu memberitahu bahawa dia akan menjatuhkan talak kepada isterinya jika wanita itu mengambil suntikan vaksin. – K! ONLINE