KLANG – Replika kereta kebal, kubu askar dan meriam yang dibuat daripada bahan terbuang antara penyeri dalam menyemarakkan semangat patriotik sempena Bulan Kemerdekaan di Flat Seri Perantau di sini.
Uniknya, pangsapuri yang mempunyai 12 buah blok dengan jumlah penduduk mencecah 8,000 orang itu ‘bertarung’ sesama sendiri untuk dinobatkan pemenang yang akak diumumkan secara Facebook Live, esok selaras prosedur operasi standard (SOP) ketika pandemik Covid-19.
Pengerusi persatuan penduduk flat itu, Mohamad Mad Zain berkata, rata-rata penduduk menggunakan wang sendiri dalam menonjolkan kreativiti hiasan masing-masing dengan semangat kerjasama tinggi.
“Sambutan sangat positif diterima daripada populasinya penduduk iaitu 60 peratus Melayu dan selebihnya India.
“Bukan wang ringgit menjadi ukuran kepada mereka sebaliknya lebih kepada menghayati erti kemerdekaan yang dikecapi sejak 64 tahun lalu,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Flat itu, hari ini.
Mohamad menambah, dianggarkan hampir 6,000 jalur gemilang digantung di seluruh pangsapuri itu dengan mereka dijuri dari segi hiasan, kreativiti, kekemasan, kebersihan dan kerjasama.
Ujarnya, blok yang berjaya akan membawa pulang wang tunai RM1,000 bersama piala pusingan dan sijil penghargaan.
Sementara itu, seorang penduduk Blok C, Noor Azlan Mahad, 40, berkata, idea kubu askar dan kereta kebal itu bagi menonjolkan semangat kental perwira di kalangan pasukan keselamatan yang menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Noor Azlan memberitahu, program itu juga disifatkan hiburan kepada penduduk selepas sekian lama berada dalam tempoh pandemik.
“Kemuncak untuk blok C adalah akan memasang jalur gemilang gergasi hampir 10 meter yang merupakan cantuman 64 jalur gemilang sebagai simbolik tahun kemerdekaan.
“Kita turut mengadakan pertandingan mewarna dan melukis serta masakan tradisonal seperti Laddu dan roti jala,” jelasnya. – K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929