KEMAMAN – Sebuah keluarga mencipta kelainan dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan ke-64 dengan menghasilkan sebuah video pendek bertema semangat cintakan negara.
Noor Zamri Shafie, 53, berkata, idea untuk menghasilkan video pendek itu timbul selepas mereka sekeluarga tidak dapat menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan untuk tempoh dua tahun berturut-turut ekoran penularan Covid-19.
“Sudah menjadi kelaziman saya memakaikan anak-anak berusia sembilan hingga 22 tahun kostum patriotik dan membawa mereka menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Kuala Terengganu saban tahun.
“Begitupun, pembatalan perarakan tersebut buat dua tahun berturut-turut ekoran Covid-19 mendorong saya dan isteri, Salida Abdullah, 45, untuk menghasilkan video pendek bagi menyemai semangat patriotik dalam kalangan anak-anak kami,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Kampung Geliga sini hari ini.
Noor Zamri berkata, menariknya kesemua watak dalam video pendek berdurasi tiga minit itu dilakon sendiri oleh dua anaknya berusia sembilan dan 11 tahun di samping dua anak saudara mereka berusia lapan dan 11 tahun.
“Video pendek arahan saya sendiri dengan bantuan isteri yang menelan belanja RM3,000 berkenaan memaparkan pengorbanan pejuang kemerdekaan berjuang menentang kekejaman pengganas komunis.
“Jalan ceritanya mengisahkan pasangan pekebun yang dalam perjalanan pulang dari kebun telah diserang pengganas komunis sehingga menyebabkan kematian salah seorang daripada mereka sebelum berlakunya pertempuran dengan anggota keselamatan,” katanya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929