PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan jawatan menteri dipegangnya ketika ini adalah yang paling mencabar sepanjang kariernya.
Khairy memaklumkan perkara itu menerusi Instagramnya selepas melapor diri hari pertama di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), petang tadi.
“Melaporkan diri dalam pekerjaan yang mungkin paling mencabar dalam karier saya. Saya berjanji akan memberikan sepenuh tenaga yang saya ada untuk menjadikan Malaysia selamat dari wabak dan muncul lebih kuat selepas ini.
“Semoga rahmat Tuhan membimbing kita ke hari-hari yang lebih baik,” ujarnya dengan ketibaan beliau di Ibu Pejabat KKM di sini disambut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan warga kerja kementerian.
Terdahulu awal petang tadi, Khairy dan barisan anggota Jemaah Menteri yang lain serta 37 timbalan menteri mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara. – K! ONLINE