PETALING JAYA – Rata-rata pengguna laman Instagram teruja melihat jambangan duit bersaiz ‘gergasi’ hadiah dari seorang wanita untuk bapanya sempena hari jadi lelaki itu.
Menerusi perkongsian wanita yang dikenali sebagai Shraedy itu, hadiah istimewa tersebut mengambil masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan
Lebih menarik, jambangan duit gergasi itu terpaksa diangkut menggunakan lori oleh pihak penghantar bagi mengelakkan ia rosak sebelum diserahkan kepada bapa wanita itu.
Shraedy berkata, hadiah tersebut adalah sebagai membalas jasa bapanya yang telah bersusah payah membesarkan dia dan adik beradiknya selama ini.
“Selamat hari jadi untuk bapaku, terima kasih kerana membesarkan kami lima beradik selama ini. Walaupun orang Indonesia tapi bapa kuat, kuat cari rezeki yang halal datang ke Malaysia, meskipun waktu sekolah ramai yang hina anak pendatang.
“Terima kasih didik kami adik-beradik kami dengan baik walaupun banyak dugaan keluargaku lalui diuji dengan penceraian, tetap bersyukur masih ada lagi ibu bapa yang masih hidup di dunia ini.
“Harap sangat sempat bahagiakan bapa dan sementara bapa masih hidup ini, hendak balas segala jasa baik selama ini. Kawan-kawan tolong doakan bapa Shraedy sentiasa sihat,” tulisnya di Instagram.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna teruja melihat jambangan duit gergasi itu serta memuji tindakan wanita itu yang berusaha membahagiakan bapanya.
Pada masa sama, mereka turut mendoakan agar bapa wanita itu sentiasa sihat dan dalam lindungan Allah SWT. -K! ONLINE