fbpx

Istana Negara terus jadi tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengamal media dari pelbagai agensi mula berkumpul sejak 12 tengah hari bagi membuat liputan di Istana Negara di sini hari ini

KUALA LUMPUR – Istana Negara terus menjadi tumpuan media hari ini bagi membuat liputan berhubung Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia membabitkan 31 menteri dan 38 timbalan menteri.

Petugas media dari pelbagai agensi mula memenuhi kawasan di pintu 2, Istana Negara sejak 12 tengah hari bagi melaporkan sebarang perkembangan terkini.

Istiadat yang telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tersebut dijadualkan berlangsung pada pukul 2.30 petang di Istana Negara hari ini.

Turut dijangka berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Istiadat itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

Terdahulu pada 16 Ogos lalu, negara dikejutkan dengan pengumuman peletakan jawatan oleh Muhyiddin dan semua anggota Kabinetnya selepas kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti pembangkang.

Ismail Sabri kemudian diumumkan sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan selepas memperoleh sokongan majoriti 114 Ahli Parlimen termasuk dari UMNO, Bersatu, Pas, MCA, MIC dan GPS.

Pembentukan Kabinet baharu telah diumumkan pada 27 Ogos lalu yang dinamakan ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’ dan senarai ahli pentadbiran baharu itu adalah satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan ‘Keluarga Malaysia’. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI