TOKYO – Atlet olahraga para Britain, Hannah Cockroft mempamerkan aksi membanggakan apabila meraih pingat emas keenam temasya Sukan Paralimpik selepas muncul juara dalam acara 100 meter kerusi roda (T34) di temasya Sukan Paralimpik Tokyo semalam.
Lebih menarik, Cockroft turut memecahkan rekod dunia miliknya sendiri apabila mencatat masa 16.39 saat (s) sekali gus berjaya mengatasi rakan senegaranya, Kare Adenegan yang berada di tempat kedua dengan catatan 17.03s.
Kemenangan itu sekali gus menjadikan Cockroft sebagai atlet olahraga para Britain paling berjaya apabila melakar hatrik dalam acara 100m selepas muncul juara di London (2012), Rio (2016) dan terbaharu di Tokyo.
“Sejujurnya saya tidak tahu apabila turut mencatat rekod dunia kerana pada perlumbaan itu Adenegan tampil sangat baik.
“Dia (Adenegan) menjalani latihan cukup gigih sebelum ke Tokyo dan saya yakin itu bukan tugas mudah bila berdepannya. Akhirnya saya lega kerana dapat mempertahankan pingat ini sekali lagi,” katanya.
Cockroft dijangka meraih pingat emas kedua di Tokyo selepas melangkah ke pentas final acara 800m.
“Saya akan melakukan yang terbaik kerana 800m juga merupakan salah satu acara kegemaran saya. Bagaimanapun, saya tahu saingan kali ini berbeza dan pasti sengit.
“Saya harap dapat membawa kejayaan ini pada saingan itu nanti. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa memberi sokongan kepada saya,” ujarnya. – AGENSI