MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memberikan amaran kepada para pemainnya dengan meletakkan misi wajib menang ke atas Wolverhampton Wanderers pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Molineux malam ini.
Solskjaer, 48, enggan lagi melihat The Red Devils mensia-siakan peluang selepas tercicir dua mata berharga ketika seri 1-1 dengan Southampton di Stadium Saint Mary pada Sabtu lalu.
“Sudah tentu anda kecewa apabila hilang dua mata minggu lepas. Kalau boleh anda mahu terus bermain satu lagi perlawanan selepas itu untuk mendapatkan semula motivasi.
“Kami tidak cukup tajam apabila mendapat peluang ketika menentang Southampton. Anda sukar untuk mengutip mata dalam saingan EPL jika penyudah tumpul.
“Selain Scott (McTominay), Marcus (Rashford), Alex (Telles) dan Dean Henderson yang belum cergas, kami mempunyai skuad mantap yang sudah bersedia untuk membawa pulang tiga mata penuh minggu ini,” kata Solskjaer.
United bermula garang musim ini apabila membelasah Leeds United 5-1 pada aksi pembukaan EPL yang menyaksikan Bruno Fernandes meledak hatrik dalam perlawanan itu.
Bagaimanapun, kecemerlangan itu gagal diteruskan apabila Fred menjaringkan gol sendiri dalam babak pertama sebelum Mason Greenwood meledak jaringan penyamaan di separuh masa kedua untuk seri 1-1 dengan Southampton. – AGENSI