PETALING JAYA – Seorang wanita yang menjadi mangsa samun motosikal beberapa hari lalu kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil namun salah satu tangannya yang mengalami kecederaan parah terpaksa dibuang.
Menerusi beberapa ciapan oleh seorang pengguna Twitter dengan nama @rabirsmn, mangsa merupakan sepupunya dan sedang dalam perjalan pulang dari tempat kerja sewaktu kejadian berlaku.
“Baru dapat tahu rupanya sepupu Rabi kena gilis dengan motor, sebab itu lah saraf dia putus. Ya Allah, berikan kekuatan untuk dia.
“Tergamak kau (suspek) gilis sepupu aku dengan motosikal, mana hati perut kau? Kenapa buat macam ini, dia bertarung nyawa kau tahu tak,” soal wanita berkenaan menerusi ciapan pada 27 Ogos lalu.
Menerusi kemas kini terbaharu di laman Twitter, wanita berkenaan memaklumkan bahawa mangsa telah selamat menjalani pembedahan buang tangan dan memohon orang ramai agar mendoakan wanita berkenaan sembuh seperti sedia kala.
“Assalammualaikum semua, alhamdulillah sepupu saya selamat selesai pembedahan buang tangan dan keadaan dia kini stabil.
“Minta jasa baik semua doakan dia agar cepat sembuh dan terima kasih kepada anda yang banyak membantu,” katanya semalam.
Difahamkan, tangan mangsa patah pada tiga bahagian dan terpaksa dibuang berikutan berlaku kerosakan kepada saraf yang dibimbangi akan mengakibatkan berlaku komplikasi lain yang lebih teruk.
Terdahulu, Kosmo! pada 26 Ogos lalu melaporkan tentang kejadian samun motosikal yang mengakibatkan sepasang kekasih mengalami kecederaan selepas motosikal dinaiki mereka ditendang sehingga jatuh oleh suspek.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12.10 malam sewaktu pasangan berkenaan sedang menunggang motosikal jenis Y15ZR menghala ke Jinjang melalui Jalan Kucing.– K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929