fbpx

‘Sumpahan’ pelakon kanak-kanak saat dewasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ERYNNE ERYNNA dan Fimie Don.

PELAKON yang terlebih dahulu membina nama pada usia kanak-kanak, namun berdepan kesukaran untuk membuang imej dan menggilap karier menjelang dewasa tidak hanya berlaku di Malaysia.

Ibarat satu ‘sumpahan’, situasi sedemikian sepertinya berlaku di mana-mana sahaja seluruh dunia termasuk di Hollywood.

Daniel Radcliffe dan Emma Watson antara bintang yang berdepan perihal disebutkan itu. Walaupun sudah menginjak dewasa, mereka masih dibayangi imej ‘kanak-kanak’. Di Malaysia, situasi sama turut dirasai dua pelakon berbakat Erynne Erynna dan Fimie Don.

Ironi, dua pelakon itu cemerlang ketika di zaman kanak-kanak. Erynne pernah menang pelakon kanak kanak terbaik Festival Filem Malaysia ke-21. Fimie pula pernah menang Pelakon Remaja Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 menerusi filem Magika.

Dibayangi fenomena zaman ‘budak’

Erynne atau nama lengkapnya, Syazlynne Erynne Abdullah, 24, tidak menafikan cabaran buat dirinya untuk tidak dibayangi kejayaan zaman kanak-kanak, namun semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan kerjaya lakonan.

“Sejujurnya, memang jarang sekali dapat watak orang dewasa macam ada suami atau anak walaupun dalam kehidupan sebenar, saya dah bergelar isteri dan ada anak. Mungkin wajah saya macam nampak keanak-anakan, fizikal pun genit.

“Jadi, produksi tak percaya saya boleh menjayakan watak orang dewasa sedangkan saya dah berusia 24 tahun sekarang. Kalau nak menjayakan watak-watak sebegitu, kena main dengan solekan pakai busana yang sesuai.

“Tapi, saya tak pernah rasa putus asa sebab bagi saya, dalam kehidupan kadangkala kita di atas, kadangkala di bawah.

“Janji kita kekal berada di garisan dan kekalkan kualiti yang kita miliki dan sentiasa berusaha perbaiki diri. Rezeki tak pernah salah alamat dan saya percayakan itu,” kata Erynne yang cukup dikenali menerusi filem Congkak.

Sementara itu, ditebak tentang persoalan ramai yang meletakkan jangkaan yang tinggi kepada pelakon seperti dirinya, Fimie, 23, memaklumkan, dalam kehidupan terutama sebagai seorang anak seni, perkara itu memang tidak boleh dielakkan.

“Jangkaan orang memang akan sentiasa berkembang baik buat diri sendiri atau orang sekeliling. Kita tak boleh mencapai kesempurnaan dalam hidup. Contoh saya berlakon dengan Erynne, mungkin orang fikir karya ini mesti sempurna.

“Sedangkan, sebetulnya, memang sukar untuk mencapai kesempurnaan. Apa yang kita boleh beri mungkin hampir sempurna tapi takkan sempurna.

Saya percaya bekerja dengan orang yang bagus berbekalkan pengalaman, ilmu yang telah dikutip, insya-Allah akan membuatkan produk seni berkualiti. Insya-Allah hasilnya, orang akan puas,” ujarnya.

Tambah Fimie, seperti Erynne, dia percayakan kuasa rezeki dalam mendepani karier seni.

“Tak perlu rasa putus asa dengan kekurangan. Kalau setakat dua tahun tiada ‘job’, masa sebelum ini Allah dah bagi 20 tahun perjalanan yang penuh dengan perkara manis.

“Apa pun, kita bersyukur sampai sekarang masih mampu berdiri dalam industri walaupun kalau disoal tentang populariti, kami tidaklah sepopular mana,” katanya.

MULA berlakon sejak usia lapan tahun, Erynne Erynna yang kini telah berkahwin dan memiliki anak masih sukar mendapat kepercayaan melakonkan watak dewasa.

‘Bakat, orang ingat selamanya’

Menjawab soalan berkenaan populariti yang tidak begitu memihak kepada dirinya, Erynne berkata, dia tidak pernah kisah tentang populariti kerana dia berpegang dengan satu falsafah dalam hidup.

“Sejujurnya, saya tak pernah kejar populariti. Saya berpegang kepada kata-kata azimat daripada salah seorang ‘otai’.

“Katanya, biar orang ingat kita sebab bakat bukan populariti. Populariti kalau jatuh orang lupa. Kalau bakat, selama-lamanya orang ingat.

“Kalau ditanya sampai bila saya akan berlakon, jawapan saya, sampai mati,” ujarnya yang mula berlakon sejak berusia lapan tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI