PETALING JAYA – Perkongsian seorang lelaki di laman Facebook yang memaklumkan tentang pemergian isterinya buat selamanya Jumaat lalu mengundang sebak dan pilu pengguna laman media sosial.
Menerusi beberapa kemas kini di platform sosial media berkenaan, pemilik akaun Hassanudeen Undingz Killerz memuat naik beberapa keping gambar dan video pendek memaparkan majlis menyarung cincin mereka sehinggalah ke pengebumian isteri tercinta.
Tambah menyayat hati, lelaki berkenaan turut mengenakan baju Melayu yang dipakainya ketika majlis penikahan mereka dahulu sewaktu menguruskan pengebumian isterinya.
“12 April 2021 bergaun putih cantik aku menikahi mu sayang, 27 Ogos 2021 berkafan kain putih dirimu meninggalkan ku sayang.
“Ketahuilah ku iringi kepergianmu memakai baju pernikahan kita agar dirimu tahu untuk selamanya bahawa Fatimah Ismil adalah bidadariku,” coret lelaki berkenaan yang mengundang perasaan sayu dalam diri pembaca.
Perkongsian lelaki berkenaan telah mendapat lebih 443 komen daripada pengguna laman sosial media serta 2,800 perkongsian yang rata-ratanya mengucapkan salam takziah dan mendoakan agar lelaki berkenaan diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan berkenaan.
“Banyakkan berdoa dan bersabar saudara. Perginya di hari baik (Jumaat) semoga Allahyarhamah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” ucap Yue Oii.
“Sayu baca luahan abang, moga abang kuat hadapi dugaan ini. Diharapkan abang banyak bersabar dan banyakkan berdoa agar arwah tenang di sana,” kata Iman Iman. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929