SEPANG – Sembilan individu termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang masuk ke kawasan lombong di Jalan Kampung Sungai Melur, Dengkil dekat sini untuk memancing berdepan detik cemas selepas laluan masuk ke lokasi itu dinaiki air setinggi kira-kira tiga meter.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, kesemua sembilan mangsa itu bagaimanapun selamat dan sedang dibawa keluar dalam operasi menyelamat yang bermula kira-kira pukul 8 malam tadi.
Katanya, pihak bomba menerima panggilan pada pukul 7.28 malam sebelum enam anggota daripada Balai Bomba Penyelamat KLIA bersama sebuah jentera fire rescue tender (FRT) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Laporan mendapati ada sembilan orang awam yang pergi memancing di kawasan lombong telah terperangkap akibat laluan masuk dinaiki air kira-kira tiga meter.
“Pihak bomba dengan bantuan Orang Asli sampai ke lokasi melalui akses berlainan dan semua mangsa didapati selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, pihak bomba kini sedang dalam proses membawa kesemua mangsa keluar dari kawasan lombong berkenaan.
“Mangsa terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30-an hingga 40-an keluar serta seorang kanak-kanak lelaki berumur 11 tahun,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929