YAN – Seorang remaja perempuan masih tidak dapat melupakan tragedi aliran puing yang meragut enam nyawa penduduk pada 18 Ogos lalu meskipun kejadian itu sudah seminggu berlalu.
Menurut Chut Abeeyah Abu Bakar, 14, ketika kejadian, dia bersama bapanya, Abu Bakar Abd. Malik, 59, dan adik lelaki nya tidak putus-putus berdoa dan membaca ayat al-Quran kerana panik.
“Kami amat takut apabila melihat air melimpah dari Batu Hampar ke kawasan rumah dengan arusnya yang terlalu deras dan hanyut bersama batang-batang pokok dan batu besar.
“Adik saya (Agam Muslim) juga ketakutan sampai menangis,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jawa di sini semalam.
Cerita pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) itu, dia sekeluarga terperangkap di dalam rumah sepanjang malam, manakala ibunya, Hameedah Abd. Latif, 52, yang bekerja pula tidak dapat pulang kerana jalan terputus.
Berita bergambar: ‘Kawasan rumah jadi pulau’
Gadis itu bersyukur kerana dia sekeluarga terselamat dalam kejadian yang mengorbankan enam nyawa tersebut.
Kejadian itu turut menyebabkan Chut Abeeyah dan adiknya yang berusia 10 tahun kini trauma setiap kali cuaca hujan di kawasan rumah mereka.
“Saya dan adik berasa trauma selama seminggu dan Alhamdulillah sudah semakin beransur pulih,” katanya.
Jelasnya, kakitangan Kementerian Kesihatan datang ke rumah untuk memberi kaunseling kepada mereka baru-baru ini.
“Selain itu, guru kaunseling MRSM turut datang memberi kata-kata semangat kepada saya dan keluarga,” katanya.
Kosmo! pada 20 Ogos lalu melaporkan tragedi limpahan air besar dan deras susulan fenomena aliran puing dari Gunung Jerai di empat pusat peranginan air terjun di daerah ini dan Kuala Muda dekat sini merupakan kejadian terburuk dalam sejarah negeri ini dalam masa 20 tahun.