KUALA LUMPUR – Tindakan sindiket pelacuran yang cuba berselindung disebalik pangsapuri persendirian di Taman Usahawan Kepong akhirnya terbongkar selepas diserbu sepasukan polis semalam.
Difahamkan, sindiket yang baru beroperasi sejak dua hari lalu itu menawarkan perkhidmatan seks menerusi aplikasi WeChat dengan bayaran sebanyak RM160 dan menjadikan pangsapuri berkenaan sebagai sarang pelacuran.
Serbuan pada pukul 4.50 petang itu telah dilakukan sepasukan polis dari Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya telah menahan lima wanita warga asing berusia dalam lingkungan 23 hingga 42 tahun disyaki pelayan pelanggan (GRO) yang menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan.
“Kita turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun yang dipercayai pelanggan di premis berkenaan.
“Pemilik kediaman tersebut juga sedang dikesan untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, polis turut berjaya merampas pelbagai peralatan yang disyaki digunakan untuk kegiatan tersebut seperti tuala mandi, minyak urut, kondom dan kad akses.
“Kesemua suspek kini ditahan reman selama 14 hari bermula hari ini hingga Sabtu depan kerana kes masih belum selesai.
“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak terlibat dalam aktiviti kurang sihat ini atau tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil,” tegasnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen kerana terlibat dalam aktiviti pelacuran. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929