LONDON – Beribu-ribu orang di Britain yang merupakan kumpulan antivaksin mengadakan tunjuk perasaan di pusat bandar London bagi membantah rancangan kerajaan untuk mewajibkan pengambilan vaksin dan pasport Covid-19, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Penunjuk perasaan berkumpul di Hyde Park dan berarak menuju ke Bangunan Parlimen sambil memegang kain rentang, plakad dan bendera Britaian yang tertulis keengganan mereka mematuhi arahan tersebut.
Sesetengah ibu bapa juga dirakam membawa anak-anak mereka menyertai perarakan tersebut sebagai bantahan kepada keputusan untuk memvaksin kanak-kanak berusia 12 tahun ke atas tidak lama lagi.
Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) dilaporkan akan diberi kebenaran memberi suntikan vaksin Covid-19 kepada golongan kanak-kanak 12 tahun ke atas tanpa perlu mendapatkan keizinan daripada ibu bapa atau penjaga.
Isu tersebut menimbulkan masalah dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Boris Johnson apabila sebilangan anggota Kabinet membantah usul tersebut kerana menyifatkannya mencabuli hak asasi rakyat negara itu.
Pada minggu lalu, orang ramai turut mengadakan protes serupa, dalam situasi lebih kecoh apabila hampir 200 daripada mereka menceroboh masuk ke stesen televisyen tempatan, ITV News dan Channel 4 News. – Agensi