STAVELOT, Belgium – Pelumba Formula Satu (F1) dari Mexico, Sergio Perez berazam untuk memberikan aksi yang terbaik pada Grand Prix (GP) Belgium hari ini selepas menerima khabar gembira apabila ditawarkan kontrak baharu untuk kekal bersama Red Bull musim depan.
Sebagai rekod, Perez yang bersama Red Bull pada tahun ini dengan kontrak selama semusim telah mempamerkan prestasi yang membanggakan selepas menduduki tangga kelima keseluruhan untuk kategori pelumba dengan mengutip 104 mata.
Susulan kecemerlangan yang dipamerkan oleh pelumba berusia 31 tahun itu, pengurusan Red Bull bersetuju untuk menawarkan kontrak baharu, sekali gus bergandingan dengan pelumba utama, Max Verstappen musim depan.
Kata Perez, lanjutan kontrak itu sememangnya memberi motivasi tambahan buatnya dalam usaha membantu pasukan Red Bull merampas kejuaraan dunia kategori pengeluar musim ini dengan kekal konsisten ketika perlumbaan GP masih berbaki 12 pusingan.
“Saya lega apabila tidak perlu lagi risau dengan spekulasi masa depan apabila menerima tawaran kontrak baharu untuk kekal bersama pasukan musim depan. Kini, saya boleh memberi tumpuan penuh agar misi pasukan dapat dicapai pada tahun ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Perez turut meluahkan keyakinan untuk menyumbangkan mata berharga dengan meraih keputusan positif pada perlumbaan GP Belgium di Litar Spa-Francorchamps malam ini selepas melihat prestasi jentera yang cukup pantas.
“Saya percaya jurutera pasukan telah memperbaiki kelemahan jentera sepanjang cuti musim panas kali ini dan sekiranya segalanya berjalan lancar, mungkin kami dapat menyumbangkan mata berharga buat pasukan pada perlumbaan esok (hari ini),” katanya. – AGENSI