fbpx

Nora Danish tak layan manusia negatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORA DANISH

SEKITAR Mei lalu, pelakon jelita Nora Danish pernah menjadi mangsa jangkitan wabak Covid-19.

Lebih menyedihkan, Nora dijangkiti wabak maut berkenaan beberapa hari sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri. Sekadar menghabiskan masa ‘berhari raya’ di dalam bilik sendirian kerana menjalani kuarantin,

Nora menganggap pengalaman tersebut sebagai momen yang tidak akan dilupakannya sampai bila-bila.

Ketika ‘berperang’ dengan wabak tersebut, Nora mengakui hatinya sangat sedih, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan terpaksa ‘berpisah’ buat sementara waktu dengan suami, Nedim Nazri Aziz serta dua orang anaknya iaitu Putera Rayqal dan Mohamed Neqayl Nedim atau Ney Ney.

“Dahulu, selalu dengar orang lain yang kena. Sekarang giliran saya. Jadi, saya tahu bagaimana rasanya, perit.

“Tak dapat jumpa keluarga walaupun hanya beberapa langkah kaki yang memisahkan kami. Boleh dengar suara anak di luar bilik tapi tak boleh buat apa-apa,” luahnya.

Ibarat diberi ‘nyawa kedua’, Nora memanjatkan rasa syukur apabila disahkan bebas daripada Covid-19 pada 19 Mei lalu dan dapat berkumpul semula bersama suami serta anak-anak.

Pembelajaran anak-anak

Bagaimanapun, lumrah bagi manusia, terutama untuk wanita bergelar ibu apabila bimbang tentang keselamatan anak-anak ketika dunia masih bergelumang dengan pandemik Covid-19.

Selain khuatir tentang risiko keselamatan dan kesihatan anak-anak, pemilik nama lengkap Nora Mohd. Danish, 39, itu juga pening memikirkan soal pembelajaran mereka.

“Selain soal kesihatan, saya juga bimbang memikirkan hal pembelajaran anak-anak. Saya percaya, ramai ibu bapa lain juga mempunyai pandangan yang sama. Bukan mudah sebenarnya untuk anak-anak mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

KATA Nora. masyarakat perlu sedar bahawa dunia yang dilalui kini berbeza dengan keadaan sebelumnya. Walaupun perit, masing-masing harus lalui cabaran ini bersama.

“Hampir dua tahun kita hidup dalam situasi pandemik. Generasi muda pada hari ini juga semakin hilang cara hidup sebenar. Keadaan ini sungguh membimbangkan,” kata Nora yang masih belum terfikir untuk menambah bilangan anaknya.

Pelakon bertubuh genit itu lagi, dia sebenarnya mengharapkan kerjasama dan bantuan daripada pihak kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian segera, lebih-lebih lagi selepas pandemik yang melanda telah memberi cabaran terhadap sistem sosial, keluarga dan ekonomi masyarakat.

“Masyarakat juga perlu sedar dunia yang kita lalui hari ini berbeza dengan keadaan sebelumnya. Walaupun perit, masing-masing harus lalui cabaran ini bersama.

“Berhenti daripada merungut itu dan ini,” ujarnya.

Tegas Nora, dia turut menggesa dan mengingatkan masyarakat supaya sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah beratus-ratus kali, malah mungkin jutaan kali dicanang sejak hari pertama Covid-19 menular.

Barangkali orang ramai melihat Nora cukup bertuah dikelilingi dengan kehidupan yang selesa. Tatkala dilanda pandemik, dia tidak mungkin ‘tercalon’ sebagai individu yang akan mengibarkan ‘bendera putih’, meminta bantuan untuk meneruskan kehidupan, tidak seperti segelintir artis lain.

IBU kepada dua orang cahaya mata ini turut melahirkan rasa bimbang terhadap sesi pembelajaran anak-anaknya yang dijalankan secara dalam talian kerana mendakwa kaedah tersebut dilihat kurang berkesan untuk kanak-kanak.

Kerinduan berlakon

Memanjatkan rasa syukur, pelakon drama Bougainvillea itu tidak putus-putus menadah tangan mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah SWT untuk dia sekeluarga.

“Alhamdulillah, syukur ya Allah. Walaupun tidak dapat berlakon, tapi saya masih mempunyai peluang lain mencari rezeki dengan menggunakan platform media sosial untuk berniaga.

“Sebagai manusia, walau apa pun yang berlaku kita tetap perlu bersyukur walaupun diberi ujian oleh-Nya,” ujarnya ketika dihubungi Pose baru-baru ini.

Perbualan tempoh hari turut menyentuh tentang perkembangan kariernya dalam bidang seni. Sama seperti penggiat seni lain, Nora juga terkena tempias impak pandemik apabila tidak dapat bekerja semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 dan Fasa 2 dikuatkuasakan oleh kerajaan.

Bohong kalau Nora menafikan dia tidak rindu dengan dunia lakonan. Bahkan dia sendiri tidak dapat menggambarkan betapa jiwanya merintih untuk kembali beraksi di hadapan kamera.

“Sebagai anak seni, perasaan itu sentiasa bermain dalam minda dan jiwa. Sebab terlalu rindu, sampai jadi meronta-ronta nak lontarkan dalam naskhah (lakonan).

“Kadang-kadang sampai saya terpaksa berlakon depan cermin. Adakalanya di hadapan anak-anak. Paling tidak pun saya buat video sendiri untuk berlakon.

“Sebenarnya ada hikmah juga atas apa yang terjadi kalau dilihat dari sudut positif,” ujarnya optimis.

Kata pelakon berusia 39 tahun itu, disebabkan tidak dapat turun berlakon, dia menggunakan kesempatan terluang untuk memberi fokus terhadap bidang perniagaan yang diusahakannya.

“Rindu tetap ada. Cuma sejak melahirkan Ney Ney sekitar Februari 2018, saya sekarang lebih memberi tumpuan kepada bidang perniagaan.

“Jadi apabila tidak dapat turun ke set penggambaran, saya boleh memberi lebih fokus terhadap bisnes dan memikirkan cara untuk meluaskan lagi empayar,” ujarnya.

Bergelar selebriti popular, isu hangat pasti tidak dapat lari daripada lingkaran hidupnya. Buktinya, baru-baru ini Nora dan suaminya menjadi mangsa hentaman netizen apabila membawa anak-anak mereka makan di restoran sejurus kerajaan membenarkan aktiviti ‘dine-in’ di negeri Fasa 1.

NORA langsung tidak pernah ambil tahu komen negatif yang dilemparkan kepadanya kerana menganggap perkara itu hanya membuang masa.

Diam lebih baik

Sambil ketawa, pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Puteri itu mengakui dia sebenarnya tidak pernah ambil tahu tentang kritikan negatif yang dilemparkan terhadapnya.

Malah, Nora juga berkata, dia tidak suka ‘bertekak’ dengan manusia negatif kerana berasakan perbuatan tersebut hanya membuang masanya.

“Sejujurnya saya tidak suka berdepan dengan manusia negatif. Apatah lagi nak membaca komen berbaur negatif.

“Kebanyakan komen negatif atau perkara tidak baik yang ditularkan tentang saya pun, saya dapat tahu daripada wartawan, kawan atau keluarga. Bukan sebab saya sendiri baca komen tersebut,” jelasnya.

Bagi wanita itu, dia lebih senang mengambil pendekatan ‘tutup mulut’ kerana menganggap itu adalah jalan terbaik buat dirinya.

“Diam bukan bermakna saya mengaku salah. Cuma saya rasa pendapat mereka (berunsur negatif) tidak penting dalam hidup saya.

“Tapi saya percaya, mereka yang berkata buruk itu sebenarnya mahukan yang terbaik daripada saya. Terima kasih semua,” tutup Nora.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI