KOTA BHARU – Kerajaan negeri Kelantan telah menyalurkan dana kira-kira RM100,000 untuk membantu atlet dan pihak yang terlibat dalam industri sukan yang terkesan akibat Covid-19 sejak lebih setahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat berkata, dana itu digunakan untuk membeli barangan makanan kepada atlet dan pemain industri sukan di 10 jajahan di negeri ini.
Katanya, peruntukan itu juga digunakan untuk membantu atlet yang terkesan selepas tidak dapat menjalankan aktiviti ketika negara berdepan pandemik Covid-19.
“Kita telah menyantuni atlet-atlet dari negeri ini berikutan mereka tidak boleh menjalankan aktiviti termasuk menyertai latihan sebagai persiapan menghadapi temasya sukan.
“Kerajaan negeri akan terus membantu mereka termasuk beberapa NGO yang dilihat amat terkesan ketika ini,” katanya selepas menghadiri Pelancaran Semarak Maal Hijrah 1443 Hijrah dan Bulan Kemerdekaan 2021 Negeri Kelantan di sekatan jalan raya (SJR) Jalan Hamzah di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Roslan berkata, sekiranya Kelantan beralih ke Fasa Tiga, dibawah Pelan Pemulihan Negara, beliau akan terus membantu atlet di negeri ini untuk mereka menjalani latihan sebagai persiapan awal menyertai Sukan Malaysia (Sukma) 2026.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929