PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini memaklumkan bahawa salah seorang kakitangannya meninggal dunia setelah hampir sebulan bertarung dengan wabak Covid-19.
KKM dalam satu muat naik di laman Facebook rasminya menzahirkan ucapan salam takziah kepada keluarga arwah.
“KKM mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Shakiera Zulkifli, salah seorang staf di Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) yang telah kembali ke Rahmatullah,” katanya.
Sementara itu, CKAPS menerusi satu kemas kini Facebook mengesahkan bahawa Allahyarham meninggal dunia selepas hampir sebulan bertarung dengan wabak Covid-19.
“Dukacita dimaklumkan bahawa salah seorang staf CKAPS, Shakiera Zulkifli telah pulang ke Rahmatullah selepas bertarung dengan wabak Covid-19 selama hampir sebulan.
“Semoga Allahyarham diampunkan segala dosa dan ditempatkan bersama orang-orang yang muqarrabin. Takziah kepada keluarga beliau. al-Fatihah,” ujar kemas kini itu. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929