MANCHESTER – Bekas pemain pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand mendedahkan bahawa individu yang memainkan peranan membawa pulang Cristiano Ronaldo ke Old Trafford adalah pengurus legenda mereka, Alex Ferguson.
Kelmarin, United telah mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mereka sudah berjaya mencapai kata sepakat bersama Juventus untuk mendapatkan khidmat pemain berkenaan, malah terma peribadi juga telah dipersetujui oleh Ronaldo.
Perpindahan tersebut agak mengejutkan kerana beberapa hari sebelum itu Ronaldo kuat dikaitkan dengan penghijrahan menyertai seteru setempat United, Manchester City.
“Cristiano dan Alex Ferguson mempunyai hubungan yang sangat istimewa. Tidak ramai pemain dalam karier mereka mampu memiliki hubungan sebegitu dengan pengurus.
“Tidak mungkin sama sekali Cristiano kembali ke Old Trafford tanpa dia meminta pandangan Alex, itu saya sangat pasti. Alex yang memainkan peranan membawa dia pulang ke sini semula,” katanya.
Ronaldo kembali menyertai United melalui nilai perpindahan £24 juta (RM138.4 juta) dengan kontrak selama dua tahun dan bakal menerima gaji mingguan sebanyak £480,000 (RM2.8 juta) seminggu.
Pada awal jendela perpindahan musim panas kali ini dibuka, United langsung tidak menunjukkan minat mereka untuk mendapatkan Ronaldo, namun segalanya berubah sejak dua minggu lalu.
Jurulatih Juventus yang baharu, Max Allegri secara terbuka mengakui beliau tidak memerlukan khidmat Ronaldo dan meminta pemain itu meninggalkan Turin.
Perkembangan itu menyebabkan dia dikaitkan ke Etihad kerana hanya City dilihat mampu dari aspek kewangan sebelum United memulakan rundingan secara rahsia bersama ejen pemain itu, Jorge Mendes dan berjaya membawanya pulang. – AGENSI