YAN – Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) tidak mengesan sebarang tanda atau bukti terdapat halangan yang membentuk empangan semula jadi di puncak Gunung Jerai di sini sebelum berlaku runtuhan tanah seterusnya aliran puing pada 18 Ogos lalu.
Ketua Cawangan Pakar Geologi Kejuruteraan JMG Malaysia, Dr. Ferdaus Ahmad memberitahu, hasil kajian dan siasatan di lapangan setakat ini belum menemui bukti kewujudan halangan seperti longgokan kayu yang menahan aliran air sehingga membentuk empangan sementara atau semula jadi.
“Buat masa ini kita tidak menemui sebarang bukti berhubung perkara tersebut (empangan semula jadi). Kita hanya mengenal pasti kesan-kesan runtuhan tanah pada cerun gunung,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kata beliau, sebelum kejadian aliran puing itu, berlaku hujan yang sangat lebat secara luar biasa dan air hujan meresap seterusnya melembutkan struktur tanah dan batuan di kawasan puncak gunung.
“Air hujan dalam kes ini merupakan faktor pencetus dan kejadian runtuhan tanah berlaku dengan gabungan faktor penyumbang iaitu sudut cerun lebih 25 darjah, sistem retakan pada batu seterusnya ketebalan tanah penutup yang nipis.
“Kejadian tanah runtuh ini seterusnya mengakibatkan berlaku aliran puing sehingga menjejaskan penduduk yang tinggal di kaki Gunung Jerai,” ujarnya. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929