MELIHAT kerja-kerja kolaboratif artis muda tanah air mempersembahkan idea muzik masing-masing sebenarnya satu perkara yang mengujakan, khususnya buat pemerhati dunia muzik.
Terbaharu, Yonnyboii, Zynakal dan Asyraf Nasir bekerjasama menzahirkan sebuah antem luar biasa mesej dan melodinya berjudul Tak Sangka.
Dari segi penulisan lirik, lagu berkenaan memberi tamparan peringatan bahawa dalam dunia ini, apa-apa sahaja boleh berlaku. Orang yang kita sangka baik di depan mata, boleh jadi itu semua hanya sandiwara.
Verse pertama berbunyi ‘dari apa yang aku perhatikan, manusia mahu senang tapi tak semua mahu berkorban’, ternyata sebuah ‘ugly truth’ yang tidak ramai dapat menelannya dengan sempurna.
Selain itu, ada banyak lagi peringatan lain dalam karya berkenaan yang boleh dijadikan sempadan dan teladan hidup.
Secara peribadi buat penulis, kelahiran karya-karya yang bahasanya bersifat sedikit ‘keras’, namun tersembunyi nilai puitis seperti disebutkan tadi, adalah satu budaya sihat yang membuatkan industri terus menjalar subur.
Itu soal nukilan lirik. Dari segi komposisi muzik, melodi Tak Sangka sebenarnya berbunyi ringkas, namun korusnya disifatkan pantas melekat di minda dan telinga setiap pendengar.
Melodi ringkas bukan bermaksud sesebuah karya itu tidak bagus tetapi perihal tersebut dipadankan dengan perkongsian lirik tepat dan bersesuaian.
Hasilnya, lahirlah sebuah karya yang bagus dan memberi nafas baharu terhadap bentuk karya sedia ada terhidang di lapangan muzik Malaysia.
Animasi ‘world class’
Bercakap tentang nafas baharu, perkara yang paling membanggakan adalah kualiti video muzik rasmi lagu berkenaan.
Animasinya cukup terperinci dan membuatkan sesiapa yang menonton pasti berbangga dengan mereka.
Untuk pihak yang berperanan menjaga kualiti grafik atau animasi, anda perlu mendapat upah lebih kerana hasilnya, sangat segar dan bernilai ‘antarabangsa’.
Untuk zaman Covid-19, sebenarnya agak jarang peminat disuapkan dengan kualiti sedemikian rupa.
Visualnya keluar daripada kelaziman dan menggunakan kesempatan yang terhalang disebabkan pandemik Covid-19 dengan grafik berkelas dunia.
Penulis kagum dan tertarik kepada bahagian tembak bazooka dan kemudian terus masuk bahagian korus. Efek animasi yang ditonjolkan dalam muzik video sangat mengena dengan alunan muziknya.
Kalaulah Anugerah Industri Muzik (AIM) direnjat semula, tidak mustahil Tak Sangka boleh tersenarai sebagai calon animasi terbaik atau mungkin, video muzik terbaik. Buat ‘trio’ yang merealisasikan hasil kerja ini, syabas dan jangan pernah berhenti berkarya walaupun dibelenggu pandemik.