fbpx

Sindiket tipu tawaran kerja tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Polis menahan tiga lelaki tempatan disyaki terlibat dalam aktiviti sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian dalam serbuan di Taman Desa Skudai, Johor Bahru pada Khamis lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sejak Januari hingga 12 Julai lalu, pihaknya menerima 164 laporan penipuan tawaran kerja sebagai ejen jualan platform e-dagang membabitkan kerugian RM2.3 juta.

Katanya, suspek menjalin kerjasama dengan sindiket antarabangsa apabila dikesan menipu mangsa dari Singapura.

“Susulan itu, JSJK serta pihak berkuasa Singapura menyerbu sebuah kondominium mewah di Johor Bahru dipercayai dijadikan pusat operasi.

“Tiga individu berusia 21 hingga 27 tahun ditahan. Polis merampas komputer riba, telefon bimbit, komputer tablet, kad bank dan beberapa dokumen berkaitan,” katanya dalam kenyatan di sini hari ini.

Sindiket yang beroperasi sejak Jun lepas itu menggunakan kemudahan media sosial seperti Instagram dan Facebook untuk menawarkan peluang pekerjaan sebagai ejen syarikat dengan membeli barangan yang diiklankan melalui platform e-dagang.

Pembelian itu didakwa untuk menaikkan rating dan nilai jualan syarikat. Mangsa dijanjikan pendapatan harian RM200 hingga RM300.

Mangsa yang berminat akan menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp mengandungi pautan untuk barangan yang perlu dibeli.

“Bagi setiap barangan yang dibeli mangsa akan dibayar semula nilai barangan tersebut berserta komisyen lima hingga lapan peratus,” jelasnya.

Sindiket itu dipercayai mempunyai kaitan dengan 95 laporan polis melibatkan mangsa di Singapura dengan nilai kerugian RM2.15 juta dan satu laporan polis di Malaysia melibatkan kerugian RM21,700.

“Suspek berperanan memindahkan wang hasil penipuan daripada akaun keldai ke dalam akaun e-wallet yang diberikan oleh pihak atasan.

“Mereka ditugaskan untuk membuat pembelian wang kripto dan menerima komisen RM1,870 setiap hari,” katanya.

Tegas beliau, usaha mengesan saki baki sindiket yang masih bebas sedang giat dijalankan oleh pihak polis negara dan polis Singapura.- K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI