LONDON – Seorang pemandu lori teruja apabila diumumkan memenangi sebuah kereta berjenama mewah, McLaren 720S Spider bernilai £275,000 (RM1.6 juta), lapor akhbar The Sun semalam.
Andrew Olsen, 60, memenangi satu daripada model kereta terpantas di dunia itu menerusi satu kempen cabutan bertuah secara online untuk tujuan kebajikan bagi Hospital Kanak-Kanak Great Osmond (GOSH).
“Saya diberitahu telah memenangi kenderaan ini pada hari lahir ke-60. Saya terdiam dan sejujurnya, ini merupakan hadiah hari lahir terbaik saya.
“Ia amat berbeza dengan lori yang saya pandu. Meskipun saya menyukai kenderaan ini, namun saya mungkin akan menjualnya kerana wang itu mampu mengubah keluarga saya,” katanya.
Olsen dalam pada itu turut berharap agar tuahnya berterusan dan boleh memenangi hadiah utama bagi cabutan bertuah tersebut iaitu sebuah rumah agam di Wimbledon bernilai lebih £3.5 juta (RM20.2 juta).
“Saya berpendapat syarikat kutipan dana Omaze sangat mengagumkan kerana ia mengumpul wang bagi membantu pusat kebajikan GOSH dalam melakukan apa yang mereka lakukan iaitu membantu kanak-kanak yang sakit tenat,” kata Olsen. – Agensi