MALAYSIA akan menyambut Hari Kebangsaan yang ke-64 pada Selasa ini. Dalam situasi ketidakstabilan politik, ekonomi dan sosial, bumi bertuah ini masih menjadi ‘bumbung’ untuk kita semua berteduh.
Banyak pahit manis yang dilalui sepanjang lebih enam dekad tersebut dan setiap langkah mematangkan kita dalam mendepani hari-hari yang mendatang.
Bercakap tentang merdeka, ya, kita sudah lebih 60 tahun ‘bebas’, namun adakah kita semua sudah betul-betul merdeka atau hanya sekadar laungan di bibir menjelang 31 Ogos?
Tidak perlu pandang jauh perihal rumit berkaitan ekonomi atau suhu politik negara, penulis ingin meminjam perhatian pembaca Kosmo! untuk melihat ruang lompong dalam industri hiburan yang boleh diperbaiki.
Bakat atau populariti? Dua perkara berlainan jisim yang seringkali menjadi taakulan dalam kalangan orang seni, namun rumit untuk diperbetulkan. Dahagakan perhatian? Buat perkara jelik, muat naik di laman Instagram atau TikTok, silap hari bulan boleh diambil jadi pelakon.
Kalau ada rupa, lagi mudah untuk seseorang itu menyelinap masuk dalam industri dan menjadi sama ada pelakon atau penyanyi menggunakan tiket instafamous. Natijahnya, mereka yang berbakat dan sudah lama menghuni industri ditendang ke belakang. Kedengaran kasar tetapi ada kebenarannya.
Situasi ini diakui pelakon, Erynne Erynna yang pernah merangkul trofi Pelakon Kanak Kanak Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21, 13 tahun lalu.
Erynne mengakui terdapat segelintir produksi yang bersikap ‘pilih bulu’ dengan membelakangkan bakat.
“Sejujurnya, saya memang sedikit kecewa dengan budaya ini apabila produksi memilih pelakon berdasarkan bilangan pengikut di Instagram. Kecewa tetapi itulah ugly truth dalam bidang ini.
“Ramai atau sedikit pengikut, ia tidak menentukan bakat seseorang. Bagi saya, jika ada ramai pengikut itu adalah bonus. Saya menggunakan Instagram untuk berkongsi aktiviti harian dengan peminat,” katanya.
Dalam pada itu, pengarah dan penerbit drama, Heykal Hanifah tidak menafikan media sosial merupakan satu elemen penting dalam kehidupan seseorang terutama golongan anak seni.
“Kalau di Hollywood, tiada Instagram tidak menjadi satu masalah. Angelina Jolie pun baru ada akaun Instagram selepas 40 tahun jadi pelakon. Tetapi itu di Hollywood, industrinya besar.
“Cuma, bagi saya jangan salah guna media sosial untuk perkara yang tidak sepatutnya. Sebagai anak seni jangan bagi ruang untuk orang ramai hentam.
“Ada pro dan kontra (penggunaan media sosial). Saya masih ingat dahulu, Farah Nabilah semasa berlakon drama Titian Cinta, pengikutnya cuma 30,000, sekarang sudah berjuta kerana dia pandai menggunakan medium itu,” katanya.
Benar, dunia sudah berubah dan semakin banyak kemajuan dikecapi. Bagaimanapun, jangan disebabkan kemajuan ia menyebabkan masyarakat menjadi alpa. Media sosial boleh menjadi platform untuk menghubungkan anak seni dengan rezeki, namun boleh juga menjadi jambatan yang boleh mengheret mereka ke lembah yang tidak sepatutnya andai tidak diuruskan dengan baik.
Memetik kata seorang lagi pelakon berbakat besar, Kodi Rasheed: “Penonton sekarang sudah bijak. Mereka kalau boleh dah tak mahu drama ‘cintan-cintun’, mereka mahukan kandungan atau cerita yang mencabar minda.”