Sekalung tahniah kepada barisan Kabinet yang baru dilantik bagi melengkapkan saf kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos lalu.
Walaupun tidak banyak perubahan dalam barisan kepimpinan yang dipilih, namun di bahu mereka yang dilantik terpikul harapan rakyat untuk kembali membina negara, yang mana rakyat dan ekonominya teruk terkesan akibat pandemik Covid-19 selain pergolakan politik yang bagaikan tak berkesudahan.
Kali ini, rakyat benar-benar mengharapkan kepada kebijaksanaan barisan kepimpinan yang dilantik untuk membawa keluar negara daripada belenggu pandemik serta kembali merancakkan ekonomi supaya limpahannya dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat.
Selain menyelesaikan masalah pandemik, perkara paling utama ketika ini ialah memulihkan ekonomi dengan harapan dapat menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
Setakat Mei lalu, jumlah rakyat yang terpaksa menganggur sudah mencecah seramai 728,100 orang.
Atasilah masalah ini dengan segera. Buatlah sesuatu supaya dapat memudahkan rakyat dalam mencari rezeki.
Tindakan ini seharusnya menjadi antara agenda utama barisan Kabinet baharu yang akan memulakan tugas secara rasmi mulai Isnin ini.
Langkah kerajaan yang sebelum ini banyak membantu rakyat melalui pelbagai program bantuan termasuk bakul makanan memang terpuji, tetapi sampai bila bantuan seumpama itu perlu disediakan?
Sampai bila kita mahu meletakkan rakyat dalam keadaan meminta-minta?
Mahu tidak mahu, rakyat perlukan pekerjaan yang stabil bagi menjamin masa depan mereka dan keluarga.
Jadi sesuatu harus dilakukan supaya sektor ekonomi yang teruk terkesan akibat pandemik kembali dirangsang selain berusaha untuk menarik pelaburan-pelaburan baharu ke dalam negara.
Lihatlah juga peniaga-peniaga kecil terutamanya di jalanan yang kini bertambah bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Jika perlu, fikirlah tempat-tempat yang sesuai serta bentuk-bentuk bantuan yang sepatutnya supaya mereka boleh terus berkembang maju.
Jika ini berjaya dilakukan, pastinya rakyat akan melihat dan menilai semua itu.
Jangan sampai pemimpin dilihat hanya bermegah dengan jawatan, tetapi tidak berbuat apa-apa untuk memajukan negara untuk sama-sama dinikmati oleh rakyat.
Orang-orang di sekeliling yang dilantik Pak Menteri juga harus memainkan peranan masing-masing dengan sempurna untuk sama-sama menjayakan agenda kembali memakmurkan negara.
Paling penting, tunaikan tanggungjawab dengan bersungguh-sungguh, insya-Allah pemimpin akan dihormati dan kemakmuran negara akan dikecapi oleh semua lapisan masyarakat.