PETALING JAYA – Barisan Kabinet baharu pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu membuktikan keupayaan kerajaan dalam menyelesaikan isu-isu utama seterusnya mengembalikan semula sokongan rakyat dalam tempoh 100 hari pemerintahan.
Antara isu yang perlu diberi perhatian termasuklah mengurangkan jangkitan Covid-19 selain merancakkan kembali ekonomi negara dalam memulihkan kembali kehidupan rakyat.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Ahmad Marthada Mohamed berkata, kejayaan Kabinet menyelesaikan segera isu terbabit membolehkan mereka mendapat bonus tambahan khususnya berkaitan sokongan ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Jika kita lihat, pelantikan baharu Kabinet bersandarkan kepada tiga elemen utama iaitu kesinambungan, kestabilan serta kepercayaan. Apabila rakyat mula percaya, peluang untuk terus kekal lebih cerah
“Namun, semua itu tertakluk kepada prestasi ditampilkan kerajaan, sekiranya mereka berjaya, sokongan mungkin kembali diberikan ketika PRU-15 dan juga sebaliknya,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Ujar beliau, pelantikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Menteri Kesihatan turut mencerminkan kerajaan begitu komited bagi meraih semula sokongan rakyat terhadap mereka.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai senarai Kabinet baharu, Dr. Ahmad Marthada menyifatkan pelantikan itu dibuat bagi memastikan kestabilan dalam sistem kerajaan ketika ini.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani menyifatkan ketiadaan pelantikan TPM dalam Kabinet sebagai usaha mengurangkan konflik kerajaan.
“Ketiadaan lantikan jawatan TPM sebenarnya dibuat bagi mengurangkan konflik dalam kerajaan memandangkan kita tahu ada calon daripada beberapa parti politik dinamakan bagi memegang status berkenaan.
“Apabila situasi itu tercetus, ia sedikit sebanyak menambah tekanan kepada kerajaan dan cara terbaik mengurangkannya dengan tidak melantik TPM seperti pimpinan sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, orang ramai berharap agar Kabinet baharu berkenaan akan terus meningkatkan kebajikan rakyat yang semakin terkesan akibat Covid-19.
Pengurus agensi, Ahmad Isyak Rudin Mohamad Sani berkata, tumpuan utama kerajaan hari ini bukan sahaja kepada usaha merancakkan kembali ekonomi.
“Tumpuan bukan sahaja kepada usaha merancakkan ekonomi malah usaha dalam meningkatkan kebajikan rakyat yang terjejas akibat Covid-19,” katanya.
Seorang penjawat awam, Mohammad Syafiq Mohd. Akhir berharap kemunculan beberapa muka baharu dapat memperkukuhkan lagi Kabinet seterusnya membolehkan dasar dirancang dijalankan sebaiknya.
Dalam pada itu, seorang perunding kewangan, Fadhiha Izzati Mohd. Fauzi berharap semoga pelantikan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Menteri Kesihatan dapat menyambung kembali usaha kerajaan terdahulu dalam menangani Covid-19.