fbpx

Kes salah guna dadah meningkat musim pandemik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Tempoh panjang penularan Covid-19 memperlihatkan peningkatan isu sosial seperti masalah kemurungan, bunuh diri termasuk kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat.

Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Mohd Hamdi Ab. Shukor berkata, kehilangan pekerjaan, masalah keluarga dan ketidakupayaan menyesuaikan diri dengan norma baharu terutamanya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara faktor menyumbang kepada isu tersebut.

“Kesulitan ketara dapat dilihat dalam kalangan individu yang mempunyai diagnosis ganda iaitu melibatkan pesakit mental yang mempunyai yang mempunyai komorbiditi penggunaan dadah.

“Mereka menghadapi kesukaran mendapatkan pekerjaan selain dilabel sebagai bekas banduan,” katanya ketika berucap pada Persidangan Kesihatan Mental dan Ketagihan 2021 anjuran Pusat yang diadakan secara maya hari ini.

Persidangan bertemakan Pemerkasaan B40 Terpinggir Melalui Rawatan dan Sokongan itu membincangkan mengenai penekanan rawatan perubatan sebagai kaedah pemulihan dengan dianggarkan 60 peratus daripada penagih dadah terdiri daripada kelompok B40.

Mohd. Hamdi berkata, UM dikelilingi kawasan panas pengguna dadah dengan kebanyakan pesakit yang mendapat rawatan Terapi Gantian Metadon (MMT) berasal dari kawasan panas seperti Kampung Kerinchi, Kampung Dato’ Haron, Taman Medan dan Kampung Pasir, Kuala Lumpur.

“UM menubuhkan klinik metadon pertama di dunia di masjid iaitu Masjid Ar-Rahman bersepadu dengan program intervensi psiko spiritual.

“Ia membuktikan program MMT dapat dilaksanakan di persekitaran masjid dan boleh diperluas sebagai platform pengembangan baharu di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kajian Sains Penagihan Universiti Malaya (UMCAS) Prof. Madya Dr. Rusdi Abd Rashid berkata, persidangan itu turut membincangkan penyelesaian bagi membantu meningkatkan kualiti kehidupan golongan penagih pada era pandemik.

Beliau berkata, kos untuk merawat penagih di pusat serenti dan penjara amat mahal dengan kerajaan membelanjakan RM500 juta ringgit setahun namun 90 peratus daripada mereka kembali mengambil dadah dalam tempoh tidak sampai sebulan selepas dibebaskan.

“Rawatan berkonsepkan pengurangan kemudaratan melalui program rawatan ubat Metadon dan Buprenorphine-Naloxone melalui fasiliti kerajaan dan swasta telah menunjukkan hasil menakjubkan dengan ramai penagih berhenti mengambil dadah di jalanan.

“Mereka juga dapat bekerja sepenuh masa, berfungsi dalam masyarakat dan tidak lagi melibatkan diri dalam jenayah dan tidak lagi memenuhi pusat serenti dan penjara di samping menjalani kualiti kehidupan yang lebih baik di dalam komuniti bersama keluarga.

“Justeru, kita memerlukan pendekatan baharu untuk menangani masalah dadah yang turut menyumbangkan kepada kesesakan penjara di Malaysia,” jelasnya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar yang turut menyertai persidangan itu berkata, penutupan sekolah dalam tempoh pandemik sedikit sebanyak mengehadkan keupayaan mengesan kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar. – K! ONLINE

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI