fbpx

KDA FC atasi Perak FC 1-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemain Perak FC cuba merampas bola daripada penyerang utama KDA FC, Kpah Sherman dalam perlawanan Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini. /FOTO SHAHIR NOORDIN

ALOR SETAR – Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mencatat kemenangan 1-0 ke atas Perak FC hasil jaringan penyerang utama mereka, Kpah Sherman di Stadium Darul Aman, di sini malam ini.

Babak pertama bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan, namun setiap percubaan dilakukan gagal menepati sasaran.

Pada minit ke-19, Kpah Sherman membuka tirai jaringan apabila dia yang tidak dikawal dalam kotak penalti memanfaatkan sepenuhnya hantaran lintang Tchetche Kipre untuk melakukan tandukan bagi menewaskan penjaga gol Perak, Muhammad Azri Ghani.

Hanya empat minit berselang, KDA FC berpeluang menambah jaringan apabila pengadil, Razlan Joffri Ali menganugerahkan sepakan penalti setelah Sherman dijatuhkan oleh Muhammad Azri ketika kedua-dua mereka berada dalam kedudukan satu lawan satu.

Sepakan dilakukan ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar bagaimanapun sekadar singgah ke tiang gol sebelah kanan pelawat sebelum rembatan susulan pemain import dari Singapura, K. Anumanthan dari luar kotak penalti terkena pula ke tiang gol sebelah kiri.

Memasuki babak kedua, Perak jelas menunjukkan betapa mereka masih belum mengalah apabila gerakan diatur pada minit ke-50 membantu penyerang kelahiran Ghana, Nana Poku melepaskan rembatan kencang ke pintu gol tuan rumah.

Namun penjaga gol KDA FC, Ifwat Akmal Chek Kassim nyata lebih bersedia apabila berjaya menutup bahagian kiri gawang dengan merebahkan badan untuk menangkap bola tersebut.

Pada minit ke-66, pasukan tuan rumah sekali lagi berjaya menggegarkan jaring pelawat menerusi rembatan pemain pertahanan kebangsaan, Mohd. Rizal Mohd. Ghazali.

Namun gol itu tidak dikira apabila penjaga garisan terlebih dulu mengesan kedudukannya yang berada dalam posisi ‘offside’.

Pasukan pelawat hampir berjaya menyamakan kedudukan pada masa tambahan perlawanan namun Ifwat Akmal sekali lagi bertindak cemerlang apabila melayangkan badan untuk menepis tandukan padu kapten Perak, Sergio Aguero untuk kedudukan muktamad 1-0. – K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI