KOTA TINGGI – Sebuah kapal tangki yang berdaftar di Batam, Indonesia ditahan selepas disyaki bersauh tanpa kebenaran di perairan Johor timur semalam.
Pengarah Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kapal itu ditahan kira-kira pukul 8.50 pagi di kedudukan 11 batu nautika timur Tanjung Penawar, Johor.
Katanya, kapal berkenaan dikendalikan 18 kru warga Indonesia berumur di antara 19 tahun hingga 56 tahun yang mempunyai pengenalan diri sah.
“Pemeriksaan awal juga mendapati kapal tersebut mempunyai dokumen sah. Nakhoda kapal memaklumkan bahawa kapal tangki tersebut berlayar dari Kalimantan pada 19 Ogos menuju ke Singapura. Kapal berkenaan kemudian telah bersauh pada 26 Ogos di perairan ini tanpa kebenaran dari Pengarah Laut Malaysia.
“Berikutan itu nakhoda dan ketua jurutera kapal telah dibawa ke pejabat Zon Maritim Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut bagi kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nurul Hizam berkata, kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduaduanya sekali. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929