MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola dijangka menurunkan kesebelasan terbaik mereka ketika melayan kunjungan Arsenal pada saingan Liga Perdana England (EPL) malam ini.
Juara bertahan, Manchester City memulakan aksi saingan EPL dengan langkah kiri apabila tewas 0-1 kepada Tottenham Hotspur pada perlawanan pertama mereka.
Bagaimanapun, skuad The Citizen bangkit membelasah Norwich City 5-0 pada perlawanan kedua mereka di Etihad minggu lalu.
Biarpun masih ghairah untuk memburu kemenangan, Guardiola percaya City perlu lebih cermat ketika turun melayan kunjungan Arsenal yang terdesak untuk mencari kemenangan selepas tewas dalam kedua-dua aksi awal musim ini.
“Prestasi yang dipamerkan oleh Kyle Walker dan Gabriel Jesus sangat baik ketika perlawanan menentang Norwich minggu lalu. Saya sangat gembira dengan penampilan mereka dan para pemain lain yang bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa.
“Pada perlawanan itu juga, saya meletakkan Feran Torres di posisi tepat selain Jesus lebih banyak beraksi di sebelah kanan.
“Bagi saya apa yang dipamerkan Jesus membolehkan dia berhak mendapat lebih banyak peluang. Kini kami mempunyai barisan pemain yang luar biasa dan berharap mereka tampil lebih baik berdepan Arsenal.
“Meskipun kami kehilangan bintang utama seperti Sergio Aguero, namun kehadiran Jack Grealish sedikit sebanyak membantu kami pada musim ini,” ujar Guardiola. – AGENSI