PETALING JAYA – Petugas kesihatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Bandar Tun Razak, Cheras di Kuala Lumpur kini memantau kesihatan pesakit yang dirujuk kepada mereka melalui aplikasi pemerhatian pesakit secara maya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam hantaran di laman Facebook berkongsi sebuah klip video memaparkan dua orang doktor sedang berinteraksi dan memberi panduan kepada pesakit secara langsung menggunakan sistem tersebut.
“Idea kreatif dan inovasi perkhidmatan ini dapat diterjemahkan dengan begitu berkesan.
“Ia dapat digunakan secara optimum serta bermanfaat kepada pesakit dan petugas kesihatan. Alhamdulillah,” katanya dalam hantaran tersebut hari ini.
Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja ke CAC Bandar Tun Razak untuk meninjau pengoperasian CAC Hibrid yang memanfaatkan sistem teknologi maklumat tanpa mengabaikan perawatan perubatan secara bersemuka dan amat penting dalam penyampaian kesihatan yang efektif
“Selain daripada memangkin penyampaian perkhidmatan perubatan kepada pesakit-pesakit Covid-19 ia juga memastikan kemudahan akses kepada pesakit dari sudut pendaftaran, saringan, pemeriksaan, pemantauan serta pemberian dan penamatan Pengawasan dan Pemerhatian Di Rumah (HSO).
“Pengoperasian CAC Hibrid ini adalah pertama yang seumpamanya dan pastinya bukan yang terakhir,” jelasnya.
Beliau berkata, pengoperasian secara hibrid itu juga dapat mengurangkan pembaziran klinikal dan menjimatkan penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) sekali gus membantu memastikan kelestarian alam sekitar.
Katanya, pengoperasian CAC hibrid itu turut memaksimumkan penggunaan sistem e-Covid yang telah dibangunkan Kementerian Kesihatan di dalam pengurusan kes-kes Covid-19 sejak permulaan pandemik tahun lalu.
Pesakit yang telah disahkan positif Covid-19 akan diminta hadir ke CAC Hibrid tersebut bagi urusan pendaftaran dan pemeriksaan kesihatan awal secara virtual dan fizikal oleh petugas kesihatan. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929