MANCHESTER – Kedudukan pengurus Arsenal, Mikel Arteta ibarat ‘telur di hujung tanduk’ susulan kekalahan memalukan 0-5 kepada juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City di Stadium Etihad sebentar tadi.
Ia adalah kekalahan ketiga berturut-turut dan lebih malang The Gunners masih gagal menjaringkan sebarang gol daripada tiga perlawanan EPL setakat ini.
Situasi itu pastinya menambahkan lagi tekanan Arteta, 39, selepas dilaporkan beliau kini kesuntukan masa untuk menyelamatkan masa depannya sebagai pengurus kelab berkenaan.
Bagaimanapun, para penyokong Arsenal tentunya tidak mampu bersabar lagi dengan prestasi pengendali dari Sepanyol itu meksipun terdahulu menang 6-0 ke atas West Bromwich Albion pada pusingan kedua Piala Liga England baru-baru ini.
Nasib malang Arsenal bermula selepas City meledak dua gol pantas dalam tempoh lima minit menerusi tandukan Ilkay Gundogan dan tolakan mudah Ferran Torres masing-masing pada minit ketujuh serta 12.
Lebih perit apabila Granit Xhaka ‘membunuh’ semangat rakan-rakan sepasukannya dengan terjahan keras ke atas Joao Cancelo mengakibatkan pengadil, Martin Atkinson melayangkan kad merah kepadanya pada minit ke-35.
Tidak lama kemudian, Gabriel Jesus meledak gol ketiga dua minit di hujung babak pertama sebelum Rodri mematikan sisa-sisa perjuangan Arsenal dalam perlawanan itu dengan jaringan keempat City pada minit ke-53.
Ia terbukti apabila Arsenal yang cuma memegang 18 peratus penguasaan permainan dalam babak kedua membenarkan Torres melengkapkan pesta gol skuad bimbingan Pep Guardiola dengan keputusan 5-0 pada minit ke-84. – K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929