fbpx

Sembilan maut dalam letupan depot senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
API dan asap kelihatan selepas depot simpanan senjata di Daerah Bayzakov, Wilayah Jambyl meletup semalam. - AGENSI AHMET ATAK/ANADOLU

NUR-SULTAN, Kazakhstan – Sembilan orang terbunuh susulan letupan di sebuah depot simpanan peluru  di selatan Kazakhstan, manakala empat yang lain dikhuatiri  mati, kata kementerian kecemasan negara Asia Tengah itu hari ini.

Kenyataan itu menyebut pekerja perkhidmatan kecemasan dan anggota tentera antara mangsa yang maut dalam letupan itu yang memusnahkan depot simpanan peluru di rantau Jambyl, selatan Kazakhstan.

Menurutnya, empat yang lain dilaporkan hilang.

Letupan bermula semalam dan menyebabkan berpuluh-puluh mangsa cedera, manakala beberapa buah kampung dikosongkan oleh pihak berkuasa.

Beberapa letupan susulan dilaporkan berlaku.

“Letupan-letupan itu akhirnya berhenti tetapi kebakaran terus berlaku,” kata kenyataan sama.

Kemalangan yang kerap berlaku di depot-depot era Kesatuan Soviet di Kazakhstan memeningkan kerajaan negara itu sejak beberapa tahun lalu. Satu letupan maut berlaku di sebuah depot lain di bandar Arys, selatan negara itu sedekad lalu.

Kementerian kecemasan berkata, serpihan-serpihan melayang dalam radius 2 kilometer akibat letupan kuat di Jambyl.

“Menurut data awal, lebih 500 tan bahan letupan TNT disimpan di depot tersebut,” kata kementerian itu.

Menteri Pertahanan, Nurlan Ermekbayev berkata hari ini bahawa beliau akan menyerahkan jawatannya berhubung insiden itu sekiranya Presiden Kassym-Jomart Tokayev menerima peletakan jawatannya.

Kerajaan tempatan memberitahu bahawa lebih 80 mangsa dirawat akibat kecederaan dengan 28 masih dirawat di hospital, manakala enam parah.

“Namun, nyawa mereka tidak terancam,” kata kenyataan tersebut.

Tokayev mengeluarkan kenyataan di Twitter bahawa mereka yang cedera merupakan askar dan petugas perkhidmatan kecemasan. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI