PETALING JAYA – Malaysia Airlines menjangkakan industri penerbangan domestik akan kembali beroperasi secara aktif pada suku keempat tahun ini, sebelum mencapai pemulihan kepada paras sebelum pandemik menjelang akhir tahun 2022.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Ahmad Luqman Mohd. Azmi berkata, penerbangan antarabangsa pula akan mengambil masa lebih lama untuk pulih sepenuhnya, mungkin sekitar tahun 2023 atau awal tahun 2024.
Jelasnya, cabaran terbesar Kumpulan ketika itu adalah untuk mengembalikan kapasiti dan tahap kesediaan pesawat serta kakitangan pada paras optimum, selain keperluan mengekalkan fokus tinggi bagi mengelakkan sebarang kesilapan manusia.
“Ia disebabkan syarikat penerbangan sudah lama tidak beroperasi pada kapasiti penuh, sebagai perbandingan kami memberi perkhidmatan kepada sekitar 1,000 penumpang sehari pada 2021 daripada 38,000 penumpang pada 2019.
“Kami juga telah berhubung dengan pihak ketiga bagi memastikan pasukan Malaysia Airlines kekal berada pada paras terbaik dari segi mental ketika berdepan cabaran pandemik kini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi bersama media yang diadakan secara maya anjuran Malaysia Airlines dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) semalam.