Oleh NURULAZMA SHAFIQAH KHAIRUL AZHAR
JEMPOL – Seorang wanita yang didapati bersalah oleh mahkamah pada 2014 kerana mengabaikan remaja kelainan upaya (OKU), Allahyarham Muhammad Firdaus Dullah, meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah hari ini.
Lolanopita Sadi, 47, meninggal dunia pada pukul 2.30 petang tadi ketika dirawat kerana mengalami masalah buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi.
Rakannya, Soriati Parmin, 42, berkata, keadaan kesihatan Allahyarham semakin merosot sejak Aidiladha lalu dan dia kemudian dibawa ke HTAN untuk mendapatkan rawatan.
“Dia sudah setahun mengalami masalah buah pinggang, seminggu sebelum Hari Raya Haji lalu dia keluar daripada hospital selepas mendapatkan rawatan penyakitnya itu, dan saya selepas itu menjaganya.
“Pada 27 Julai lalu dia kembali ditahan wad sehingga dia meninggal dunia hari ini,” katanya ketika dihubungi malam ini.
Soriati menambah, Allahyarham selamat dikebumikan di Kampung Mahsan, Jempol pukul pada 8 malam ini.
Pada 18 November 2014, Lolanopita dijatuhi hukuman penjara empat bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan iaitu mengabaikan dan membiarkan anaknya tinggal tanpa pengawasan.
Kisah Muhammad Firdaus menggemparkan negara apabila remaja istimewa itu ditemui dalam keadaan menyedihkan pada 21 Jun 2014 ketika operasi Jabatan Imigresen Negeri Sembilan di kawasan rumah pangsa Taman Semarak, Nilai.
Muhammad Firdaus meninggal dunia pada usia 16 tahun di Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban pada tahun 2015 dipercayai akibat diserang sawan.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929