LONDON – Satu kajian yang dilakukan pakar-pakar haiwan mendapati kucing berasa tertekan dan resah kerana tuannya berada di rumah sepanjang hari semasa pandemik Covid-19 kerana dianggap mengganggu tabiatnya yang gemar bersendirian, lapor laman Mirror UK kelmarin.
Memandangkan ramai pekerja yang terus bekerja dari rumah semasa pandemik, semakin banyak haiwan peliharaan dibawa ke klinik haiwan disebabkan oleh masalah mental.
Pusat kebajikan haiwan Cats Protection menyatakan, banyak haiwan yang berdepan kesukaran untuk tinggal bersama tuannya pada waktu siang.
“Perubahan kepada rutin harian kucing berpotensi menyebabkan haiwan itu tertekan kerana kucing merupakan makhluk yang suka membuat tabiat sama.
“Selain itu, kawasan senyap dan selamat yang digunakan kucing di dalam rumah mungkin telah diubah menjadi ruang pejabat, menjadikan ia tidak lagi mempunyai ruang bersendirian,” kata jurucakap pusat kebajikan itu.
Tambahnya, sekiranya kucing peliharaan sensitif dengan bunyi bising, jumlah manusia yang ramai di dalam rumah akan meningkatkan lagi tekanan terhadap haiwan itu.
“Tanda-tanda kucing yang tertekan termasuk mengiau secara berlebihan, kerap menjilat badannya, kerap mencakar, kencing di kawasan yang tidak sepatutnya dan kerap bersembunyi,” kata Daniella Dos Santos yang merupakan Timbalan Presiden Kanan Cats Protection. – Agensi