BAGAN SERAI – Penduduk Mukim Beriah Alor Pongsu yang kembali ke rumah masing-masing mengeluh apabila banjir melanda kampung mereka lapan hari lalu meninggalkan kesan buruk.
Limpahan air banjir menyebabkan kebanyakan kediaman penduduk dipenuhi kotoran dan lumpur selain kerosakan barang-barang.
Mohammad Nasir Ismail, 41, yang tinggal di Kampung Tersusun Batu 6 1/2, Matang kerugian RM1,500 apabila 24 ekor ayam telur baka Arab yang diternaknya mati ditenggelami air selain dimakan ular sawa.
“Saya sempat meninggikan reban ayam sebelum berlaku banjir, malangnya limpahan air daripada ban pecah di Kampung Selekoh Matang Pasir Alor Pongsu naik lebih cepat.
“Air banjir menenggelami beberapa reban manakala beberapa ekor lagi ayam di luar menjadi makanan haiwan lain termasuk ular sawa,” katanya yang menternak lebih 200 ekor ayam.
Menurutnya lagi dia yang menternak lebih 200 ekor ayam penelur arab dan baka kampung, mendakwa kerugian lebih RM1,500 termasuk membeli kapur untuk ditabur pada rebannya bagi meneutralkan semula reban dari penyakit seperti hama.
Penduduk lain, Zulkeflee Ismail, 42, berkata, situasi selepas banjir lebih memenatkan apabila perlu membersihkan kediaman selain membuang barang-barang yang rosak sebelum mengemas rumah.
Bagaimana pun, dia dan ahli keluarga bersyukur apabila dibantu sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membersihkan rumahnya yang berlumpur. – K! ONLINE.
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929