PETALING JAYA – Tenaga Nasional Bhd. (TNB) mengumumkan hala tuju kelestariannya dengan aspirasi mencapai pelepasan sifar bersih (net zero emissions) menjelang tahun 2050.
Hasrat tersebut dipacu komitmen mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 35 peratus serta pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan tenaga menerusi arang batu menjelang 2035.
TNB komited memastikan pendapatan daripada loji arang batu tidak melebihi 25 peratus daripada keseluruhan pendapatannya.
Pada awal tahun ini pula, ia menyatakan komitmen untuk tidak lagi melabur dalam pembinaan loji arang batu di atas tapak baharu selepas Jimah East Power yang mula beroperasi pada 2019.
Loji-loji arang batu sedia ada pula akan diberhenti tugas apabila perjanjian pembelian tenaga tamat.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, hala tuju baharu itu adalah terjemahan jelas matlamat kelestarian TNB yang bermula pada 2016, dengan pelancaran pelan strategik Reimagining TNB.
“Komitmen ini memberi pemahaman lebih jelas terhadap hala tuju kelestarian TNB untuk tempoh 30 tahun akan datang.
“Menuju ke arah komitmen 2035, kami akan terus menambah baik kecekapan loji termal sedia ada dan meningkatkan portfolio penjanaan tenaga boleh diperbaharui (RE).
“Sasaran kami adalah untuk mencapai 8,300 megawatt (MW) RE menjelang 2025,” katanya yang turut mengumumkan prestasi TNB bagi separuh pertama tahun kewangan 2021 dalam satu kenyataan semalam.
Baharin menerangkan, TNB telah merekodkan pemulihan berperingkat daripada Covid-19 dengan keuntungan selepas cukai Kumpulan dicatatkan pada RM1.823 bilion, meningkat daripada RM1.412 bilion sepanjang tempoh sama tahun lalu.
Bagaimanapun jelasnya, nilai itu masih lebih rendah berbanding RM2.651 bilion pada 2019.