KLANG – Penurunan kemasukan kes Covid-19 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini membolehkan pembukaan semula Kompleks Rawatan Harian (ACC) hospital tersebut pada Isnin depan.
HTAR berkata, selaras itu proses sanitasi dan dekontaminasi ACC dijalankan selama dua hari bermula hari ini dengan bantuan pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Andalas dan Pelabuhan Klang bersama-sama dengan Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Shah Alam.
“Pelaksanaan proses sanitasi dan dekontaminasi ACC yang sebelum ini telah dijadikan wad sementara bagi menempatkan pesakit Covid-19.
“Proses-proses ini akan mengambil masa selama dua hari untuk disempurnakan iaitu pada hari ini dan esok sebelum ACC dibuka semula pada Isnin depan,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi mereka hari ini.
Turut hadir pada program itu adalah Pengarah HTAR, Dr. Zulkarnain Mohd Rawi.
HTAR turut menjelaskan bagi pengoperasian semula klinik-klinik di ACC pula dijangka akan bermula pada bulan depan.
Kosmo! pada 10 Julai lalu melaporkan semua perkhidmatan rawatan pesakit luar di HTAR ditutup sepenuhnya bermula 9 Julai sebagai persediaan menghadapi pengurusan pesakit Covid-19.
Antara perkhidmatan yang terjejas adalah rawatan klinik pakar pesakit luar di kompleks rawatan harian (ACC) serta perkhidmatan fisioterapi dan pemulihan carakerja di bangunan utama.
Terdahulu sebelum penutupan itu suasana pekarangan HTAR sedikit ‘menggerunkan’ apabila terdapat beberapa pesakit diletakkan di luar wad kecemasan hospital tersebut. -K!ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929