KOTA BHARU – Lima ahli Parlimen dan Senator dari Kelantan dilantik sebagai menteri selain empat lagi menjawat jawatan timbalan menteri dalam Kabinet diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri hari ini.
Jumlah sembilan individu itu menunjukkan pengurangan seorang wakil berbanding 10 orang sebelum ini, namun kekal antara negeri paling ramai wakil yang membarisi Kabinet.
Lima menteri tersebut terdiri daripada Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin yang kekal sebagai Menteri Kanan – Pendidikan bersama Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri-Ekonomi) dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar dan Air).
Dua ahli parlimen iaitu Datuk Seri Takiyuddin Hassan bertukar portfolio kepada Menteri Tenaga dan Sumber Asli termasuk Tan Sri Annuar Musa yang dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.
Sementara itu, Timbalan Menteri dari Kelantan pula terdiri daripada Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Timbalan Menteri Pertahanan), Datuk Ahmad Marzuk Shaary (Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama) dan Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff (Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga)
Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II menggantikan Datuk Che Abdullah Mat Nawi yang merupakan Ahli Parlimen Tumpat.
Pelantikan Nik Muhammad Zawawi merupakan satu-satunya muka baharu yang dilantik dalam Kabinet baharu Ismail Sabri.
Sementara itu, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, beliau amat menghargai kepercayaan diberikan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan tugasnya sebelum ini dan ia merupakan satu amanah besar.
Katanya, beliau akan turut serta menjayakan usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu.
“Saya percaya kombinasi barisan Kabinet diumumkan Perdana Menteri mampu melaksanakan Pelan Pemulihan Negara dengan efisien demi kesejahteraan rakyat serta membebaskan Malaysia daripada Covid-19.
“Pelan ini adalah kesinambungan kepada asa yang dibina Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Insya-Allah jemaah menteri dan timbalan menteri akan berganding bahu memastikan budaya kerja berprestasi tinggi dijayakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929