SHAH ALAM – Sebanyak 111 projek perumahan melibatkan 15,010 unit rumah masih terbengkalai di seluruh negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, jumlah projek ini telah dicatatkan sejak tahun 2007 dan masih tidak mempunyai kontraktor dan pemaju penyelamat.
Katanya, daerah Klang mencatatkan jumlah tertinggi projek terbengkalai iaitu sebanyak 39 projek, diikuti Kuala Langat (20), Hulu Langat (13), Gombak (11), Hulu Selangor dan Sepang masing-masing sembilan, Petaling (5), Kuala Selangor (4) dan Sabak Bernam (1).
“Kerajaan negeri sentiasa komited untuk menyelesaikan masalah ini walaupun bidang kuasa kami terhad dan tertakluk pada Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966.
“Projek terbengkalai dan bermasalah di Selangor dikawal selia melalui pemantauan yang dilakukan JawatanKuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) di Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Jawatankuasa Kecil Pemulihan Projek Terbengkalai Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Lee Kee Hiong (PH-Kuala Kubu Bharu) berhubung usaha yang dilakukan kerajaan negeri bagi mengatasi isu projek perumahan terbengkalai di Selangor. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929