MELAKA – Dua individu bertindak meninggalkan bot dan 1,100 ekor burung murai kampung yang cuba diseludup ke negara jiran di tepi pantai selepas menyedari kehadiran penguat kuasa di perairan pantai Alai, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 malam itu, kesemua burung itu ditemui oleh unit ronda pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.
Pengarahnya, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, rondaan operasi khas itu dibuat selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkaitan aktiviti mencurigakan di pesisir pantai tersebut.
Ujarnya, hasil pemeriksaan, pasukan ronda berjaya mengesan sebuah bot yang disyaki terbabit dengan kegiatan penyeludupan.
“Bagaimanapun suspek menyedari kehadiran penguat kuasa dan terus memecut laju ke pantai sebelum meninggalkan bot di kawasan cetek yang dipenuhi semak untuk meloloskan diri.
“Kita percaya bot itu dikendalikan dua suspek. Penggeledahan di kawasan pantai berbatu itu menemui 55 buah raga berisi kurang 1,100 ekor burung Murai Kampung,” katanya dalam satu kenyataaan dikeluarkan hari ini.
Mengulas lanjut, Haris berkata, kesemua burung bernilai kira-kira RM44,000 itu dipercayai diletakkan oleh dalang dan tidak sempat dipindah masuk ke dalam bot oleh suspek berkenaan.
“Burung Murai Kampung atau nama saintifiknya Copsychus Saularis dipercayai untuk diseludup ke negara jiran kerana mempunyai permintaan tinggi,” ujarnya. -K! ONLINE