PORT DICKSON – Kegiatan seorang lelaki yang dipercayai aktif melakukan jenayah pecah masuk stesen minyak dan kedai di sekitar daerah ini terbongkar selepas dia ditahan polis, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitenden Aidi Sham Mohamed berkata, ketika ditahan suspek berusia 29 tahun itu bersembunyi di bawah meja kaunter selepas dipercayai melakukan jenayah sama di sebuah stesen minyak di Jalan Batu 2 Seremban di sini.
“Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang bekerja di syarikat penggera keselamatan memaklumkan stesen minyak itu telah dipecah masuk pada pukul 3.27 pagi.
“Setibanya di lokasi, kelihatan cermin kaca stesen minyak tersebut telah dipecahkan dan hasil pemeriksaan lanjut mendapati suspek masih berada di dalam kedai dengan bersembunyi di bawah meja kaunter sebelum menahannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, antara barangan yang dirampas adalah tukul besi, sarung tangan, beg pinggang, motosikal, pakaian termasuk wang tunai RM500.
“Pihak polis juga telah membuat pemeriksaan di sebuah rumah yang pernah diduduki suspek di Kampung Sungai Raya, Pasir Panjang di sini.
“Barang-barang dipercayai hasil daripada pecah kedai dan pecah stesen minyak, seperti rokok pelbagai jenama, telefon bimbit, perisa vape, gelang hiasan tangan, cincin hiasan, kad memori, mikrofon, ‘screen protector’ telefon dan cermin mata turut dirampas.
“Susulan penangkapan tersebut, pihak polis percaya telah berjaya menyelesaikan lima kes pecah stesen minyak dan kedai di Port Dickson, satu kes di Seremban manakala dua lagi kes di daerah Nilai dengan keseluruhan kerugian berjumlah RM69,713,” katanya. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 011-19598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929